Jenazah bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin dibawa keluar dari kediaman beliau di Presint 10, di sini pada 8 pagi menuju ke Surau At Tarbiah, Taman Melawati untuk solat jenazah. 

Jenazah dibawa keluar dari kediamannya dengan van jenazah diiringi polis trafik. 

Solat jenazah akan diadakan di Surau At Tarbiah di Taman Melawati dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Klang Gate. 

Sebelum itu, saudara-mara dan sahabat handai Allahyarham mulai membanjiri kediamannya untuk membaca surah Yasin.

Antara mereka yang hadir ialah bekas peguam negara Tan Sri Abdul Ghani Patail, bekas Penasihat Kumpulan Tanggungjawab Sosial Korporat Media Prima Bhd Datuk Ahmad A. Talib dan bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Phesal Talib. 

Allahyarham berusia 79 tahun meninggal dunia di Hospital Serdang 6.40 petang semalam akibat serangan jantung.

Sebelum ini, beliau dirawat di Hospital Putrajaya sejak 12 Nov dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu setelah dikesan paru-parunya berair sebelum dipindahkan ke Hospital Serdang.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR