Sebanyak 70,000 permohonan kemasukan ke Tingkatan 1 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi sesi pembelajaran tahun hadapan telah diterima sehingga tarikh tutup permohonan, 4 Dis lepas.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, jumlah itu adalah besar berbanding kuota maksimum 7,760 yang boleh ditawarkan di 54 buah MRSM seluruh negara. 

Bagaimanapun, katanya seperti yang telah diputuskan kerajaan baharu, kuota 65 peratus kemasukan bermula tahun hadapan mesti diisi pelajar dari keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

“Pendaftaran kemasukan ke Tingkatan 1 MRSM akan bermula pada 14 Januari depan manakala semakan keputusan boleh dibuat pada 21 Disember ini melalui laman web Mara (Majlis Amanah Rakyat),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan persekolahan pada Program ‘Jom Kembali Ke Sekolah’ di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaaan Taman Mutiara dekat sini, hari ini. 

Rina berkata, buat pertama kali, beliau telah mengarahkan Mara agar mengumumkan keputusan pelajar yang berjaya diterima masuk ke MRSM lebih awal iaitu pada bulan ini bagi mengelakkan ibu bapa terpaksa membuat persiapan persekolahan anak-anak mereka berulang kali.

“Ia mengelak persediaan persekolahan yang terpaksa dibuat dua kali oleh ibu bapa ataupun ibu bapa terpaksa tolak terus tawaran MRSM itu apabila mereka telah pun siapkan kelengkapan anak-anak di sekolah menengah biasa dan tidak mempunyai peruntukan lain untuk membuat persiapan sekali lagi apabila anak mereka diterima masuk MRSM,” katanya.

Seramai 880 pelajar menerima bantuan persekolahan pada Program ‘Jom Kembali Ke Sekolah’ anjuran Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) itu yang turut mendapat kerjasama Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) dan Yayasan Pelajaran Mara (YPM).

Daripada jumlah itu, 280 pelajar sekolah rendah sekitar daerah Kulim, Sik dan Baling menerima beg sekolah, set alat tulis dan botol air tajaan KPTM selain pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) berjumlah RM30 seorang yang ditaja KEDA.

Seramai 600 pelajar sekolah rendah dan menengah dari daerah sama pula menerima bantuan set buku tulis tajaan YPM. 

Semua bantuan itu membabitkan peruntukan berjumlah lebih RM50,000.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR