Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang sudah 46 tahun bertapak di negara ini, kini menjadi sebahagian daripada entiti perniagaan yang menyumbang kepada pemangkin industri baja negara selepas pembukaan kilang bajanya, Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd (MNFSB), di sini pada 2004.

Timbalan Pengurus Besar (Pemantauan Subsidiari) NAFAS Mohamad Yazif Fadil berkata idea membina kilang memproses pelbagai jenis baja itu diilhamkan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1994 yang ketika itu menjadi Perdana Menteri keempat yang menyarankan supaya NAFAS berkecimpung dalam bidang pembuatan berskala besar.

Timbalan Pengurus Besar (Pemantauan Subsidiari) NAFAS Mohamad Yazif Fadil berkata idea membina kilang memproses pelbagai jenis baja itu diilhamkan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1994 yang ketika itu menjadi Perdana Menteri keempat yang menyarankan supaya NAFAS berkecimpung dalam bidang pembuatan berskala besar. (Foto: Bernama)

“Pembinaan kilang ini awalnya diilhamkan Tun Dr Mahathir di mana ketika itu beliau menjadi Perdana Menteri keempat ketika perasmian Hari Peladang di Langkawi yang mencadangkan atau dalam erti kata lain menyuntik cabaran kepada NAFAS untuk terlibat dalam industri lebih besar.

“Dan Alhamdulillah walaupun kami mengambil masa yang agak panjang dari tahun 1994, pada 1998 kami telah memaklumkan dalam Mesyuarat Agung NAFAS yang mana NAFAS akan terlibat atau akan membina sebuah kilang baja yang hari ini dipanggil Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Mohamad Yazif berkata tempoh lama untuk pembinaan kilang itu adalah disebabkan NAFAS berhadapan dengan kekangan kewangan dan kecekapan sebelum Petronas Chemical Fertiliser (Kedah) Sdn Bhd (PCFK) menyatakan minat untuk bekerjasama membina kilang berkenaan dengan menyediakan perkhidmatan kepakaran serta melabur sebanyak 20 peratus.

“MoU (memorandum persefahaman) antara NAFAS dan PCFK termeterai pada 1999, dan dalam masa sama NAFAS telah melancarkan Skim Pelaburan Khas Peladang bagi membolehkan Pertubuhan Peladang Negeri, PPK (Pertubuhan Peladang Kawasan) dan ahli untuk menyertai kami membantu membina kilang ini,” katanya.

Selain itu katanya kerajaan di bawah pimpinan Dr Mahathir pada 2002 turut memberikan dana sebanyak RM20 juta kepada NAFAS untuk projek itu sebelum kerja pembinaan kilang dimulakan pada Februari 2003 dan siap pada November 2004.

“Produk (baja keluaran) NAFAS mula dibekalkan kepada petani-petani seluruh Malaysia bermula pada 2005,” katanya.

Menurut beliau, Malaysia memerlukan sekitar 4.9 juta metrik tan baja setahun untuk memenuhi keperluan sektor pertanian dan perladangan di mana daripada jumlah itu hanya lapan peratus iaitu 420,000 metrik tan membabitkan tanaman padi.

Pusat pemprosesan baja subsidi Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd (MNFSB) di Gurun, Kedah.
Semalam, Bernama melaporkan NAFAS menerusi kilang bajanya MNFSB itu mengorak langkah ke depan merancang untuk menghasilkan baja silikon bagi pembekalan baja subsidi untuk kegunaan pesawah di negara ini. (Foto: Bernama)

Mohamad Yazif berkata penglibatan NAFAS untuk memenuhi keperluan lapan peratus itu adalah serius memandangkan MNFSB boleh menghasilkan produk berkualiti tinggi dengan penggunaan teknologi serta berkeupayaan mengeluarkan antara 320,000 hingga 340,000 metrik tan baja setahun.

Katanya, berdasarkan penilaian oleh Fertilizer Industry Association of Malaysia pada Oktober 2015 yang juga data terbaharu bagi senarai pembekal baja di negara ini, NAFAS tersenarai sebagai pemain industri baja peringkat pertama.

“Kita harus berbangga kerana satu-satunya Pertubuhan Peladang dimiliki ahli peladang berbanding syarikat lain adalah syarikat individu dan seharusnya ahli Pertubuhan Peladang merasa berbangga dengan kejayaan yang telah dikecapi ini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, NAFAS kini memiliki empat anak syarikat iaitu MNFSB, NAFAS Bajakimia Sdn Bhd, NAFAS Agri Services Sdn Bhd dan NAFAS Plastic Industries Sdn Bhd yang masing-masing mempunyai nilai tambah tersendiri untuk memacu perkembangan industri baja sekaligus membantu dalam meningkatkan hasil padi negara.

Mohamad Yazif berkata, NAFAS Bajakimia Sdn Bhd beroperasi untuk memasarkan pelbagai produk baja tunggal dan sebatian serta menyediakan khidmat pergudangan dan pembungkusan baja manakala NAFAS Agri Services pula memasarkan pelbagai input pertanian seperti baja, racun perosak dan peralatan pertanian.

“NAFAS Plastic Industries Sdn Bhd pula menjalankan aktiviti penghasilan pelbagai jenis produk yang berasaskan plastik seperti jumbo bag,” katanya.

Beliau berkata NAFAS juga terlibat dalam pembekalan baja subsidi menerusi Skim Bantuan Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), Skim Insentif Padi (SIPP) dan Skim Baja Racun Padi Huma (SBRPB) sejak 1979 sehingga kini yang bertujuan menggalakkan pesawah terus mengusahakan tanaman padi selain membantu meningkatkan bekalan makanan negara.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Ekonomi

VIDEO POPULAR