Seorang tukang jahit, yang juga pengusaha benang serat nanas, melahirkan rasa syukur apabila dipilih sebagai seorang daripada penerima sumbangan Program Ikhtiar Lembaga Tabung Haji (TH) sekali gus membantu mengembangkan perniagaannya.

Munah Abdul Kadir, 47, berkata inisiatif TH dengan pemberian sumbangan RM10,000 itu membolehkan beliau memiliki sebuah mesin jahit sulam dan seterika wap bagi kegunaan perniagaannya yang dimulakan sejak lima tahun lepas.

“Ketika ini saya hanya memiliki satu mesin jahit lurus dan satu mesin jahit tepi bagi menyiapkan tempahan jahitan seperti alas meja, langsir dan sarung kusyen.

“Dengan sumbangan ini, saya kini boleh menerima lebih tempahan kerana sebelum ini saya bimbang terhadap kekurangan peralatan menjahit,” katanya yang ditemui pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Program Ikhtiar TH 2018 peringkat negeri Johor, di sini hari ini.

Wanita dari Kampung Rimba Terjun dekat Pontian itu berkata sebelum ini dia tidak pernah menerima sebarang bantuan daripada mana-mana pihak bagi mengembangkan perniagaan yang dijalankan bersama kakaknya.

Katanya, usaha TH menerusi program seumpama itu membolehkan golongan asnaf sepertinya keluar dari kepompong kemiskinan dan menjadikannya pemangkin untuk lebih berjaya pada masa akan datang.

Munah adalah antara 20 usahawan asnaf di negeri ini yang terpilih menerima sumbangan menerusi Program Ikhtiar hari ini, dengan membabitkan keseluruhan bantuan berjumlah RM150,000.

Bantuan disampaikan Pengarah TH Johor Datuk Mohammad Mokhzani Mukhtar.

Sementara itu, Mohammad Mokhzani berkata beliau berharap pemberian bantuan menerusi hasil zakat dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) itu dapat melahirkan lebih ramai usahawan asnaf yang berjaya di negeri ini.

“Kita mahu memastikan para asnaf mampu berdikari dan memperbaiki kehidupan mereka seterusnya keluar daripada belenggu kemiskinan,” katanya.

Tambahnya, Program Ikhtiar yang dimulakan sejak 2015 itu telah membantu seramai 80 usahawan asnaf seluruh negara dengan peruntukan berjumlah RM1.4 juta.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR