Penyedia dan perunding penyelesaian berasaskan teknologi yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Mercer, mengunjurkan kenaikan gaji keseluruhan Malaysia kekal stabil pada 5.2 peratus pada 2019, tetapi melepasi negara lain seperti Australia (2.6 peratus) New Zealand (2.5 peratus) dan Jepun (dua peratus).

Dalam kajian “Perancangan Pampasan Untuk 2019” yang dikeluarkan baru-baru ini, Mercer meramalkan kebanyakan industri di Malaysia mengekalkan kadar pertumbuhan gaji yang sama tahun depan, kecuali industri barangan pengguna yang dijangka meningkat sedikit sebanyak 0.3 peratus.

“Industri sains hayat dan teknologi berada di kedudukan teratas dari segi asas gaji tertinggi dan jumlah peningkatan tunai bagi kakitangan eksekutif pada 2019,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebaliknya, Mercer berkata, fungsi undang-undang, kewangan serta penyelidikan dan pembangunan muncul sebagai tiga peranan utama yang kemungkin besar menjana peningkatan.

“Isyarat positif pemulihan dalam sektor semikonduktor dan bioteknologi juga membayangkan bahawa kejuruteraan pakar dan bakat jualan akan mendapat permintaan.

“Bertentangan trend pertumbuhan yang lemah di seluruh industri perbankan dan perkhidmatan kewangan, industri insurans juga diunjur untuk menyaksikan pertumbuhan yang sihat,” katanya.

Sementara itu, Mercer berkata, Malaysia kekal sebagai ekonomi yang sangat berdaya saing, dengan 38 peratus daripada Generasi X dan 44 peratus daripada milenium yang menguasi tenaga kerja pada 2018.

“Fokus semasa dalam penstrukturan semula ekonomi, mempromosikan kepelbagaian dan meningkatkan produktiviti oleh kerajaan Malaysia mula membuatkan hasil ketika negara mengambil langkah progresif untuk menjadi sebuah negara yang berdaya saing di peringkat global.

“Ini bermakna tumpuan meningkat oleh syarikat untuk terus melabur dalam membina tenaga kerja mereka untuk masa depan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Mercer Malaysia, Hash Piperdy.

Menurut kajian itu, di kalangan pasaran baru muncul, Bangladesh (10 peratus), India (9.2 peratus) dan Vietnam (9.8 peratus) dijangka mengalami kenaikan gaji tertinggi pada 2019.

Kajian itu juga mendedahkan bahawa eksekutif tertinggi di China mengatasi gaji rakan setara mereka di AS dan UK.

“Bagaimanapun adalah penting untuk dinyatakan bahawa gambaran ini berubah setelah insentif jangka panjang dan faedah keselamatan sosial Eropah diambil kira,” katanya.

Kajian berkenaan yang mengenal pasti trend imbuhan utama dan menjadikan pengambilan pekerja dan ramalan kenaikan gaji untuk tahun akan datang di seluruh Asia, Timur Tengah dan Afrika, adalah berdasarkan Kajian Ganjaran Keseluruhan, kajian tahunan pampasan dan faedah utama Mercer yang disertai lebih daripada 500 syarikat di Malaysia merangkumi 12 industri.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR