Kos bagi Lynas Corporation Ltd (Lynas) membawa keluar residu (sisa buangan) Water Leached Purification Residue (WLP) dari Malaysia, hanya melibatkan AUD14 juta (AUD1=RM3.03), kata Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin.

Beliau berkata berdasarkan laporan Australian Financial Review minggu lepas, sebahagian besar kos mengeksport sisa buangan itu iaitu AUD46 juta boleh dituntut melalui insurans syarikat pelombong nadir bumi itu.

“Berbanding dengan untung syarikat itu bagi tahun 2017-2018 yang mencecah AUD129 juta, ini merupakan hanya 10 peratus daripada untung Lynas. Jika kiraan itu tepat, ini bermakna 10 peratus daripada untung Lynas daripada operasi setahun yang lepas sudah mampu untuk menghantar balik sisa yang terkumpul dalam enam tahun operasi.

“Lebih-lebih lagi, selepas pengumuman prasyarat dibuat oleh kementerian ini pada minggu lepas, broker saham seperti UBS dan CLSA masih menegaskan syor “beli” untuk saham Lynas. Broker UBS pula meletakkan sasaran harga saham Lynas setinggi AUD3.10, iaitu hampir dua kali ganda daripada harga saham mereka sebelum pengumuman dibuat,” katanya dalam catatan terbarunya di Facebook.

Catatan itu dikeluarkan sebagai surat terbuka kepada warga kerja Lynas Malaysia, susulan penyerahan memorandum oleh 130 pekerja Lynas, Pahang di hadapan pintu pagar utama Parlimen pada Selasa lepas.

Yeo berkata Lynas sebelum ini menyatakan komitmennya untuk mengeluarkan residu dari Malaysia sebanyak dua kali melalui Surat Aku Janji yang ditulis oleh Lynas Corporation Ltd., Australia (Lynas Australia) dan Lynas Malaysia Sdn. Bhd. (Lynas Malaysia) bertarikh 23 Feb 2012 dan 6 Mac 2012.

Bagaimanapun, pihak pengurusan Lynas Malaysia seolah-olah mementaskan sandiwara dengan pelbagai advertorial atau iklan berbayar di akhbar serta sidang media untuk memberikan gambaran negatif terhadap kementerian.

“Tetapi hakikatnya, pihak pengurusan Lynas Malaysia hanyalah menjaga keuntungan syarikat dengan tidak memenuhi komitmen mereka. Sebaliknya, sebagai seorang Menteri, saya bertanggungjawab menjaga kepentingan awam dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

“Sesungguhnya saya tidak meminta lebih daripada apa yang telah dijanjikan oleh majikan tuan-tuan dan puan-puan pada 2012. Maka menjadi harapan saya, Lynas Malaysia menunaikan janji mereka secara ikhlas dan bersungguh-sungguh dengan memulakan proses penghantaran keluar residu WLP dari Malaysia,” katanya.

Dalam surat terbuka itu, Yeo turut memohon maaf kepada 130 pekerja Lynas, Pahang yang hadir ke Parlimen itu kerana beliau tidak dapat menerima sendiri memorandum mereka kerana berada di Katowice, Poland, bagi menghadiri United Nation Climate Change Conference of the Parties mewakili Malaysia dalam gerakan global untuk menangani perubahan iklim dan kesannya.

“Kalaulah saya tahu lebih awal tuan-tuan dan puan-puan ingin datang dari Kuantan untuk menyerahkan memorandum, saya akan meminta pegawai kementerian berada di Parlimen untuk menerimanya. Saya ingin menyatakan di sini, pihak kami telah pun menerima memorandum itu.

“Saya sangat mengerti perasaan susah hati jika hilang pekerjaan. Saya dibesarkan dalam estet dan ibu saya hanyalah seorang kerani, maka saya sangat memahami apa rasanya berpenat lelah mencari rezeki, nasi di pinggan, bumbung untuk berteduh, baju di badan dan anak ke sekolah,” katanya.

Minggu lepas, Lynas dilaporkan secara sukarela akan berusaha melaksanakan cadangan yang dikemukakan Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi Lynas Advance Materials Plant (LAMP) mengenai operasi Lynas Malaysia di Gebeng, Kuantan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amanda Lacaze dalam kenyataan berkata ia termasuk saranan untuk mengeksport sisa buangan WLP dari Malaysia, jika lokasi kemudahan pusat pelupusan kekal (PDF) gagal dikenal pasti atau diluluskan

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR