Situasi banjir di Terengganu semakin buruk dengan penambahan bilangan mangsa seramai 1,622 orang daripada 506 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 950 orang daripada 327 keluarga malam tadi.

Sebanyak tiga pusat pemindahan sementara (PPS) baharu dibuka menjadikan jumlah keseluruhan PPS beroperasi sebanyak 19 tempat di tiga daerah iaitu Hulu Terengganu, Kemaman dan Setiu.

Menurut portal Info Bencana, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Hulu Terengganu terus merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 1,161 orang berbanding 645 orang malam tadi di sembilan PPS diikuti Kemaman seramai 448 orang berbanding 292 orang malam tadi (sembilan PPS).

Di Setiu, jumlah mangsa kekal 13 orang daripada tiga keluarga yang ditempatkan di satu PPS.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula menerusi portal yang sama melaporkan tiada paras air sungai yang melepasi paras bahaya setakat pagi ini.

Namun, ketinggian paras air di beberapa stesen bacaan sungai utama masih melepasi tahap amaran seperti Sungai Besut, Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu; Sungai Dungun, Sungai Kemaman, Sungai Marang, Sungai Setiu dan Sungai Nerus.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Tempatan

VIDEO POPULAR