Seramai 80 peserta muda berusia 30 tahun ke bawah bakal dibimbing dan diberi pendedahan mengenai pembinaan kendiri serta profesionalisme melalui program Kepimpinan Wanita Muda Kebangsaan, bersempena ‘Women Fest’ 2019, pada April tahun depan.

Pengarah Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Dr Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, program Kepimpinan Wanita Muda Kebangsaan akan bermula pada Februari merangkumi aktiviti ‘boot camp’, yang mana 10 peserta terpilih akan berpeluang menjalani latihan amali selama lima minggu di beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan.

“Program ini adalah sebagai persediaan untuk mereka menjadi pemimpin pelapis masa depan sama ada dalam sektor korporat, GLC, politik mahupun di peringkat pentadbiran kerajaan. Penyertaan bagi ‘boot camp’ ini akan mula dibuka pada Januari 2019,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertemakan ‘Aspirasi Wanita Muda Sebagai Pemimpin Masa Depan’, ‘Women Fest’ 2019 adalah anjuran IYC Kuala Lumpur dan Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Persatuan Gerakan Kemanusiaan Malaysia dan Majlis Belia Malaysia.

Selain ikon wanita tempatan, Mohamed Maliki berkata beberapa aktivis wanita antarabangsa yang signifikan dengan perjuangan wanita dalam pelbagai aspek seperti kepimpinan, kemanusiaan, politik, dan keusahawanan akan diundang menyertai program ‘Women Fest’ 2019.

(bernama)

Share
Tags: Kategori: Wanita

VIDEO POPULAR