Sebuah syarikat yang mengeluarkan jenama susu terbaharu di India memperlekehkan syarikat pengeluar susu lain melalui iklan yang terpampang di dada-dada akhbar mengenai mutu susu keluarannya.

Pengeluar susu itu mendakwa masyarakat pengguna di India minum susu “palsu” dan berjanji produk syarikat berkenaan adalah asli.

Sama ada pengguna menerima bulat-bulat kempen pemasaran jenama baharu itu atau pun tidak, memang boleh dibahaskan. Namun apa yang tidak perlu dipersoalkan ialah susu dan produk tenusu di India sememangnya rendah kualiti.

Jenama susu baharu itu dalam iklan semuka penuh mendakwa syarikat lain membekalkan susu kepada peruncit selepas menambah antaranya air dan krim sedangkan produk mereka datang “segar dari ladang.”

Kebanyakan pelanggan di India sememangnya sedar masalah “pencemaran mutu” itu sebelum susu jenama baharu itu mula diketengahkan menerusi kempen pengiklanan.

Akhbar-akhbar terkemuka melaporkan sejak tahun-tahun kebelakangan ini tentang penjual susu yang tidak bertanggungjawab yang mencampurkan susu dengan bahan kimia seperti “hydrogen peroxide” dan “formalin”.

Pencemaran mutu susu telah dilaporkan berleluasa dalam susu yang dipek, yang berjenama juga susu yang dikumpul oleh orang tengah daripada petani.

Banyak juga soalan dibangkitkan mengenai piawaian lemah dalam mengekalkan mutu oleh syarikat pengeluar barangan tenusu.

Dakwaan sesetengah pihak yang melihat penjual susu mencampurkan air paip ke dalam bekas takungan susu sudah banyak kali dihebohkan.

Ujian makmal juga mengesahkan kualiti susu yang rendah yang dijual di India.

Pada November tahun ini, kerajaan negeri Maharashtra mengeluarkan amaran bahawa mana-mana pihak yang mencemari kualiti makanan akan dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

Seorang penggubal undang-undang menekankan dalam satu perbincangan bahawa sebaik sahaja susu sampai kepada pengguna ia akan menjadi “seperti racun” kerana syarikat tenusu mencampurkan pelbagai bahan ke dalam susu berkenaan.

“Bahan seperti serbuk sabun, urea, serbuk susu tanpa lemak, soda kaustik, glukos, minyak yang bertapis, garam dan kanji dicampur ke dalam susu supaya dapat disimpan lama, dan tindakan itu membahayakan nyawa orang yang minum susu berkenaan, “ penggubal undang-undang itu, Bhai Jagtap dipetik sebagai berkata dalam satu laporan.

Pada 2016, menteri persekutuan Harsh Vardhan memberitahu Parlimen bahawa 68 peratus daripada susu yang dijual tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh pengawal makanan negara itu.

Dengan penduduk lebih daripada 1.3 bilion, sektor tenusu India adalah amat besar dan ini melibatkan logistik pengedaran yang besar juga.

Masyarakat India bukan sahaja minum susu dalam bentuk cecair tetapi juga mengambil banyak manisan yang berasaskan susu serta bahan tenusu lain.

Menurut data kerajaan, pengeluaran susu India ialah lebih daripada 155 juta tan pada tahun kewangan 2015-2016 iaitu 19 peratus daripada jumlah pengeluaran global.

Menjelang 2024, pengeluaran susu di India disasarkan meningkat kepada 300 juta tan.

Cabaran yang dianggap besar ialah untuk mencapai sasaran itu ialah 80 peratus lembu di India tergolong dalam kategori baka yang menghasilkan susu yang rendah.

Pada masa ini petani kecil dan pengumpul susu adalah pemain utama dalam industri tenusu India. Dianggarkan 70 juta kediaman kampung di India terlibat dalam kegiatan tenusu dan memiliki 80 peratus jumlah lembu yag diternak di negara itu.

India mungkin sukar untuk mencapai matlamat menambah dua kali ganda pengeluaran susunya dalam tempoh enam tahun ini kecuali syarikat besar seperti yang sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk pengiklanan, membuat pelaburan yang banyak dalam ladang tenusu.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Global

VIDEO POPULAR