Terengganu bakal mewujudkan pusat rekreasi khas bagi wanita tahun hadapan untuk memberi keselesaan kepada golongan itu menjalankan aktiviti sukan dan senamrobik secara berasingan dengan kaum lelaki.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata perkara itu telah dibincangkan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan dijangka diwujudkan di setiap Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata ia susulan permintaan daripada golongan wanita di negeri ini yang mahukan pusat rekreasi khas dibina bagi mengelakkan percampuran dengan kaum lelaki terutama yang bukan mahram.

“Alhamdulillah, pada pembentangan belanjawan negeri 2019 bulan lalu, Menteri Besar (Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) ada mengumumkan tentang rancangan mewujudkan fasiliti rekreasi wanita ini tetapi belum diperincikan lagi dari segi kos dan sebagainya.

“Pusat ini mungkin akan dibina baru atau kita menambah baik bangunan atau tempat lama tetapi dibuat secara tertutup. Dengan adanya pusat ini golongan wanita bebas melakukan aktiviti seperti senamrobik, menari zumba dan sebagainya tanpa segan-segan tidak seperti gimnasium atau pusat rekreasi yang terbuka untuk semua seperti sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Ahmad Samsuri menyampaikan agihan bantuan persekolahan berupa sepasang pakaian seragam, beg dan kasut sekolah kepada 1,014 pelajar DUN Rhu Rendang, di sini hari ini.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR