Sarawak Energy merayu kepada masyarakat luar bandar supaya bekerjasama bagi memastikan aset elektrik sentiasa berada dalam keadaan baik agar bekalan tenaga elektrik ke seluruh negeri ini, tidak mengalami sebarang gangguan.

Dalam kenyataan di sini hari ini (11 Dis), syarikat milik kerajaan negeri itu berkata kerjasama mereka menjadi lebih penting sekarang apabila pihaknya giat melaksanakan projek bekalan elektrik luar bandar bagi memenuhi cita-cita kerajaan agar rakyat di seluruh negeri ini menikmati bekalan elektrik dengan sepenuhnya.

Menurut syarikat utiliti itu, siasatan susulan mendapati gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan masyarakat di kawasan tanah tinggi Bario berpunca daripada masalah luaran dan bukan disebabkan masalah berkaitan bateri solar atau bahan bakar seperti diputuskan dalam siasatan awal sebelum ini.

Siasatan susulan itu mendapati peluru sesat merosakkan kabel atas di lokasi kira-kira 7km dari stesen tenaga solar hibrid Bario Central.

“Perkara itu dikesan pasukan teknikal yang dikerah dari Miri untuk membuat pemeriksaan terhadap laluan talian berkenaan setelah mereka mengenal pasti bahawa masalah berlaku adalah bersifat luaran dan bukan di stesen janakuasa berkenaan.

“Masalah itu mengakibatkan sistem kuasa solar terpelantik. Apabila pemindahan kawalan dilakukan, generator berkuasa diesel tidak dapat berfungsi secara berterusan kerana suis utama di loji tenaga itu terpelantik sebelum kabel yang rosak berjaya dikesan,” kata kenyataan itu.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Tempatan

VIDEO POPULAR