Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang menyediakan draf Kerangka Kemudahan Sukan yang bertujuan menilai secara objektif penggunaan setiap kemudahan sukan di negara ini.

Timbalan Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata draf tersebut turut merangkumi perancangan susulan berdasarkan data diterima antaranya mengenai kepadatan penduduk dan jarak antara kompleks sukan terdekat dengan masyarakat.

“Kita mahukan pembangunan kemudahan sukan didorong oleh keperluan komuniti tempatan dan bukan kepentingan politik,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini (11 Dis).

Dalam pada itu, Sim berkata pihaknya menerima baik cadangan kerajaan Negeri Sembilan untuk menaik taraf Kompleks Tan Sri Dr Mohd Isa di sini, dianggarkan menelan kos RM5.1 juta.

Beliau berkata menjadi tanggungjawab kementerian untuk memastikan kemudahan sukan di seluruh negara digunakan sebaik mungkin.

“Memandangkan kadar penggunaan kompleks ini bagi kemudahan sukan adalah tinggi terutamanya sukan skuasy, cadangan menaik taraf ini dibangkitkan tepat pada masanya,” kata beliau.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Sukan

VIDEO POPULAR