Anak Johor yang berada di perantauan diminta untuk terus memberi sokongan dan kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang kini menerajui negeri ini.

Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian berkata sokongan daripada ‘bangsa Johor’ terutama anak muda dapat membantu membina masa depan lebih cemerlang bagi negeri Johor Darul Takzim.

“Saya rasa terpanggil mahukan anak Johor yang berada di perantauan terutama di Wilayah Persekutuan dan Selangor untuk bantu saya membawa Johor maju dari negeri lain.

“Saya harap rakyat bangsa Johor bantu kerajaan PH yang diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas untuk mentadbir dan mengurus Johor supaya lebih cemerlang kerana masa depan perjuangan kita bukan semata-mata untuk kita hari ini (11 Dis) sahaja,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Hi-Tea Muafakat Johor anjuran Persatuan Anak Melayu Johor (PAMJ) yang dihadiri lebih 500 anak Johor dari Wilayah Persekutuan dan Selangor di sebuah hotel di sini, hari ini.

Osman berkata anak Johor juga perlu berusaha mengetepikan soal politik dalam usaha membangunkan negeri ini supaya rakyatnya tidak berpecah-belah. 

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan sumbangan RM100,000 kepada PAMJ bagi membangunkan aktiviti dan program muafakat dalam persatuan itu.

“InsyaAllah kalau saya dijemput lagi dan dapat kerjasama setiap tahun, saya akan tambah sumbangan ini. Apa yang saya nak supaya kesatuan ini akan dapat menjalankan segala usaha murni dan juga mencapai matlamat persatuan ini ditubuhkan,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai isu Pulau Kukup di Pontian, Osman menganggap perkara itu telah selesai selepas ia diputuskan terus kekal sebagai Taman Negara Johor. 

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Tempatan

VIDEO POPULAR