Polis menahan lima suspek disyaki terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah di Tasek Gelugor di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Noorzainy Mohd Noor berkata tangkapan tersebut dibuat kira-kira 4 petang oleh sekumpulan anggota polis di sebuah rumah di Jalan Lahar Yooi, Kampung Seberang Tok Dooi.

“Suspek ditahan itu terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berumur antara 23 dan 46 tahun,” katanya di sini, malam ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan dalam rumah itu menjumpai dadah dipercaya jenis heroin dan syabu.

“Hasil siasatan mendapati dadah dirampas itu untuk dijual di kawasan Tasek Gelugor dengan keseluruhan barangan itu dianggarkan bernilai RM1,025,” katanya bahawa kesemua suspek juga didapati positif dadah dan kini direman tujuh hari sehingga 17 Dis untuk siasatan lanjut.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Tempatan

VIDEO POPULAR