Kerajaan negeri Terenggganu akan membantu usaha tokoh pengukir terkenal Malaysia, Norhaiza Noordin yang mahu menghidupkan semula seni penghasilan kain telepuk yang sudah pupus di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata perincian bantuan itu akan diputuskan setelah mengadakan perbincangan lanjut bersama pengukir tersebut tidak lama lagi.

“Kain telepuk adalah antara koleksi yang dipamerkan beliau sempena Pameran Menelusuri Karya Seni Norhaiza Noordin di Kompleks Muzium Negeri Terengganu yang bermula 1 Dis lalu.

“Saya dimaklumkan kain telepuk ini sudah pupus dan hanya disedari Norhaiza pada 2014 dan sejak itu, beliau berusaha menghidupkan semula seni warisan negara itu melalui bengkel dan kelas untuk mereka yang berminat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran itu di sini hari ini (11 Dis). 

Lebih 100 koleksi hasil karya Norhaiza dipamerkan antaranya ukiran keris, sampir keris, seni telepuk serta lukisan menggunakan pelbagai medium yang bermotifkan corak tradisional.

Sementara itu, Norhaiza berkata kain telepuk adalah sangat ekslusif untuk kegunaan Raja-Raja Melayu sekitar abad ke-18, kerana ia dihasilkan dari serbuk emas yang hanya menggunakan sama ada kain kapas atau kain sutera sahaja.

“Prosesnya juga sangat rumit dan memerlukan ketelitian yang tinggi di mana penghasilannya ada kala mengambil masa tempoh dua bulan dengan harga antara RM20,000 hingga RM50,000 bergantung kepada kepadatan motif corak dan saiznya.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR