Nurini Kassim dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang baharu berkuat kuasa 1 Jan 2019. 

Pelantikan itu diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo menerusi kenyataan media, di sini hari ini.

Nurini yang dilantik bagi tempoh dua tahun menggantikan Datuk Zulkefli Salleh yang tamat tempoh perkhidmatan pada 3 Okt lepas. 

“Nurini mempunyai pengalaman luas selama 20 tahun dalam bidang pengurusan dari pelbagai industri termasuk institusi-institusi kerajaan, pengawalseliaan kewangan, teknologi maklumat serta perhubungan awam dan hal-ehwal korporat.

“Saya percaya gabungan Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu, Lembaga Pengelola, Majlis Penyeliaan dan pasukan editorial yang diketuai oleh Datuk Zakaria Abdul Wahab akan membawa Bernama ke tahap yang lebih tinggi,” katanya. 

Nurini, 55, berkelulusan MBA dari University of Hull, United Kingdom, merupakan Ketua Jabatan Hal Ehwal Korporat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sejak Oktober 2015.

Beliau yang berpengalaman 15 tahun di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sejak Ogos 2000 dengan mengetuai pelbagai bahagian termasuk Jabatan Hal Ehwal Korporat, Sekretariat bagi Dana Pembangunan Pasaran Modal, Unit Promosi Pasaran Modal dan Unit Projek Pembangunan Pasaran Modal Islam.

Nurini juga pernah berkhidmat di syarikat teknologi multinasional termasuk sebagai pengurus pemasaran di Sapura Systems Malaysia mulai 1994 hingga 1997 dan sebagai perunding projek di Hewlett-Packard Sales Malaysia pada 1990 hingga 1994.

(Video: Bernama Youtube)

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR