Kerajaan akan melaksanakan program Biodiesel B10 – iaitu adunan 10 peratus biodiesel sawit dan 90 peratus diesel fosil – dalam sektor pengangkutan untuk kegunaan semua jenis kenderaan diesel mulai 1 Feb tahun depan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata penggunaan 10 peratus biodiesel sawit di Malaysia bagi kenderaan seperti pacuan empat roda, lori dan bas akan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 1.6 juta tan karbon dioksida setara setahun.

Program B10, katanya, akan menyumbang kepada pengurangan pembebasan gas karbon dioksida sebanyak 10 peratus daripada jumlah kenderaan diesel setahun di negara ini.

“Kualiti udara terutamanya di kawasan bandar akan turut meningkat melalui penggunaan biodiesel dengan pengurangan pelepasan debu dan asap hitam ke udara.

“Pelaksanaan Program B10 adalah tepat pada masa ini memandangkan harga biodiesel sawit yang rendah berbanding dengan diesel petroleum,” katanya melancarkan Pelaksanaan Program Biodiesel B10 di Sektor Pengangkutan di Dataran Putra di sini hari ini.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR