Seramai 212 pemandu teksi di daerah Kluang dan Mersing mampu menarik nafas lega apabila mereka menerima caruman melalui Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri (SPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Anggota Parlimen Kluang Wong Shu Qi berkata pihaknya menyeru pemandu teksi secara keseluruhannya untuk mancarum melalui SPS agar mendapat perlindungan menyeluruh.

Beliau berkata sebagai permulaan, pihak Parlimen Kluang mengambil inisiatif memberikan sumbangan secara ‘one-off’ sebanyak RM16,960 kepada 212 pemandu teksi yang dikenal pasti masih aktif.

“Pemberian sebanyak RM80 setiap orang ini membabitkan pemandu teksi di Parlimen Kluang, Parlimen Sembrong dan Parlimen Mersing manakala bakinya iaitu sebanyak RM77.20 akan dibayar oleh mereka sendiri dan caruman ini adalah untuk tempoh setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian bantuan ‘one-off’ caruman SPS di Pejabat Perkeso Kluang, hari ini.

Turut hadir, Pengurus PERKESO Kluang Ahmad Suzaime Abdul Aziz, Pengerusi Persekutuan Pemandu Teksi Daerah Kluang Mustakim Jalil dan Timbalan Pengerusi Persatuan Pemandu Kereta Sewa Daerah Mersing Essa Salleh.Wong berkata beliau menyokong usaha Perkeso yang memudahkan golongan yang bekerja sendiri termasuk pemandu teksi dengan melindungi kebajikan mereka melalui caruman seumpama itu.

Menurutnya, sehingga kini beliau difahamkan di bawah pentadbiran Pejabat Perkeso Kluang, terdapat seramai 256 pemandu teksi dan kereta sewa dalam daerah Kluang, Simpang Renggam, Mersing dan juga Endau yang daripada jumlah tersebut, hanya 88 pemandu teksi sahaja yang telah berdaftar dengan SPS.

“Mungkin ini disebabkan kebanyakan mereka mengalami masalah dalam mendapatkan sumber kewangan dan disebabkan itu saya sendiri sentiasa berusaha untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan pemandu teksi di sini.

“Setiap pekerja juga seharusnya mempunyai jaringan keselamatan sosial yang baik dan berharap selepas ini lebih ramai pemandu teksi dan kereta sewa di daerah ini membuat caruman Perkeso melalui skim yang disediakan,” katanya.

Sementara itu, Mustakim berkata pihaknya berterima kasih kepada kerajaan kerana sentiasa memberikan perhatian khususnya melibatkan aspek kebajikan pemandu teksi lebih-lebih lagi ramai dalam kalangan mereka sudah berusia.

“Saya sudah lihat ada beberapa kes pemandu teksi ditimpa kemalangan sebelum ini tidak dilindungi sehingga kebajikan mereka terabai dan kewujudan skim ini pada awal tahun ini sebenarnya merupakan khabar gembira buat pemandu teksi seperti kami,” katanya.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Tempatan

VIDEO POPULAR