Rumah panjang Annah Rais yang terletak berhampiran sempadan Sarawak-Kalimantan Indonesia di Padawan, adalah antara rumah panjang masyarakat Bidayuh yang masih bertahan dengan penghuninya terus mengamalkan budaya dan tradisi zaman dahulu.

Pengunjung ke rumah panjang yang terletak di hujung Jalan Puncak Borneo, kira-kira 50 kilometer dari sini itu, berpeluang menikmati pemandangan desa dengan ladang lada dan dusun di sepanjang jalan.

Rumah panjang 120 pintu di Kampung Annah Rais itu menjadi destinasi pelancongan popular, di mana pelawat boleh melihat penduduk kampung membuat kraftangan, memetik dan memproses lada, termasuk bagaimana lada dikeringkan di beranda rumah panjang, yang dipanggil ‘awah’.

Sarawak kini merupakan pengeluar utama lada di negara ini, dan tidak hairanlah “lada Sarawak” terkenal termasuk bagi pelancong luar ke negeri ini.

Seorang pelancong dari Perak, Mohd Ashraff Akmal, 31, berkata beliau kagum dengan rumah panjang Annah Rais yang dipercayai telah dibina lapan generasi lalu, kerana reka bentuk tradisional yang unik dan struktur kayu yang kuat.

“Penduduk kampung di sini ramah. Saya tentunya akan datang lagi dan membawa keluarga saya untuk lawatan akan datang, selain mempromosikan tempat ini kepada kawan-kawan saya yang lain di semenanjung,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Semasa di Annah Rais, Mohd Ashraffe berkata beliau juga berpeluang melihat penghuni rumah panjang menghasilkan produk kraftangan termasuk daripada manik tradisional Bidayuh yang dijual untuk menambah pendapatan.

Sementara itu, Kenek Sarus, 53, pembuat kraftangan, berkata beliau turut menerima tempahan daripada pelancong yang melawat rumah panjang itu untuk menghasilkan produk kraftangan tradisional untuk mereka bawa balik sebagai cenderahati.

Berhampiran rumah panjang itu terdapat mata air panas Annah Rais yang boleh dikunjungi pada bayaran antara RM5 dan RM15 seorang bagi mereka yang ingin berendam di dalamnya. Berendam di mata air panas dikatakan membantu merehatkan badan dan minda.

Pengunjung juga boleh berkelah di situ dengan kemudahan seperti peralatan barbeku.

Share

VIDEO POPULAR