Hidup harmoni serta saling bantu membantu merupakan elemen yang sudah sebati dengan rakyat Malaysia.

Inilah amalan yang bukan sahaja dipraktikkan sewaktu menuntut kemerdekaan, bahkan diteruskan dari satu generasi ke generasi lain.

Sebenarnya, rakyat Malaysia hidup bersatu padu dan saling bantu membantu.

Keharmonian dapat dipelihara dengan adanya toleransi antara pelbagai etnik termasuk kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India serta minoriti lain di seluruh negara.

Lihatlah di sekeliling kita – semua kaum tanpa mengira agama mudah bergaul dan saling mesra antara satu sama lain.

Di sekolah, kolej, universiti malah di pejabat, kita saling berinteraksi dan boleh duduk bersama serta berbincang tanpa ada rasa perbezaan.

Di kedai-kedai makan, kita boleh lihat rakyat dapat menikmati hidangan etnik lain. Nasi Lemak – juadah etnik Melayu sememangnya menjadi makanan kegemaran semua kaum. Begitu juga Nasi Ayam yang diperkenalkan kaum Cina serta Tosei – juadah etnik India yang sering menjadi sarapan ramai.

Ringkasnya, makanan menjadi alat penyatuan semua kaum sehinggakan sapaan “Dah makan?” sudah menjadi sinonim dalam perbualan selain ‘Apa khabar’.

Tidak hairanlah kepelbagaian makanan menjadi pemangkin kepada perpaduan pelbagai kaum Malaysia dan menjadi antara alat perpaduan yang paling berkesan.

KAYU UKUR PERPADUAN

Justeru itu, mengapa kini timbul suara-suara sumbang mendakwa perpaduan sudah ‘mati’ di negara kita?

Malah, tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 di Subang Jaya dekat sini pada 26 Nov lalu tidak wajar dijadikan kayu pengukur bagi perpaduan rakyat.

Perhimpunan anjuran beberapa badan bukan kerajaan termasuk Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia dan Gerakan Pembela Ummah pada Sabtu berikutan tindakan kerajaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) juga bukanlah petanda wujudnya persengketaan antara kaum di Malaysia.

Pengarah Komunikasi Strategik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Profesor Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin berkata secara umumnya, keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia masih pada tahap baik dengan rakyat hidup dalam suasana aman dan harmoni serta saling hormat menghormati.

Beliau berkata ini dapat dilihat dengan rakyat meneruskan urusan kehidupan masing-masing seperti bekerja, menjalankan urusan perniagaan, menuntut ilmu dan melibatkan diri dalam aktiviti sosial tanpa berasa takut atau bimbang.

“Keharmonian kaum membawa kepada keamanan dan kestabilan politik, sosial dan agama. Hal ini terbukti apabila sejak merdeka, rakyat dap at menikmati kemakmuran dan kesejahteraan ekonomi dan kekayaan.

“Rakyat sewajarnya bersyukur kerana Malaysia terus aman dan makmur berbanding negara lain walaupun penduduk negara ini unik kerana terdiri daripada pelbagai kaum,” katanya.

Menurutnya keharmonian rakyat boleh dilihat menerusi penyertaan bersama mereka dalam aktiviti sukan dan riadah, aktiviti-aktiviti penjagaan alam sekitar, kesedaran dan penjagaan kesihatan serta program kejiranan selain sambutan perayaan-perayaan utama.

KES TERPENCIL

Mohd Yahya juga berkata insiden kekecohan dan penganjuran perhimpunan atau demonstrasi tidak boleh dianggap sebagai rakyat tidak bersatu.

Beliau berpendapat ia merupakan tindakan sekumpulan masyarakat yang mahu menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap isu-isu tertentu.

“Insiden-insiden yang berlaku merupakan kes terpencil yang masih dapat dikawal pihak berkuasa,” katanya sambil menjelaskan bahawa hak kebebasan bersuara sememangnya termaktub dalam Perlembagaan negara.

Mengulas dengan nada yang sama, Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Syed Agil Syed Alsagoff mengakui bahawa keharmonian kaum tetap wujud di negara ini walaupun berlakunya beberapa insiden membabitkan kaum.

Beliau berkata insiden berkenaan hanyalah isu terpencil akibat salah faham sebilangan kaum.

“Saya masih percaya bahawa perpaduan kaum di negara ini masih teguh, walaupun diuji dengan pelbagai cabaran,” katanya.

Menurutnya perubahan drastik dalam kemajuan teknologi dan perkembangan berhubung kesamarataan kaum menjadi agenda kepada aspirasi kebebasan yang diperjuangkan pihak tertentu.

Mereka, antaranya, memilih untuk mengadakan demonstrasi bagi mempertahankan atau memperjuangkan sesuatu isu.

“Mempertahankan sesuatu isu dengan berdemontrasi secara aman adalah petanda bahawa prinsip demokratik di negara ini masih tetap segar dan menjadi amalan biasa bagi sesebuah negara demokrasi. Ia membenarkan rakyatnya berhimpun dan berdemontrasi secara aman serta tidak menganggu ketenteraman rakyat dan negara,” jelasnya.

PENTINGNYA PERPADUAN

Perpaduan kaum sebenarnya amat penting bagi rakyat dan negara. Rakyat yang hidup dalam keadaan aman dan damai membolehkan aktiviti harian berjalan dengan baik selain membantu kerajaan merancang dan melaksanakan pembangunan dengan lancar untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.

Bersandarkan alasan itu, kata Mohd Yahya, rakyat perlu memahami, menghormati dan mengamalkan apa yang termaktub dalam Perlembagaan negara termasuklah yang melibatkan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera, agama Islam dan Raja-raja Melayu.

“Ini merupakan perkara asas yang perlu dihormati oleh kaum lain…malah orang Melayu dan Bumiputera perlu mengakui hak-hak orang bukan Melayu seperti yang terkandung dalam Perlembagaan negara serta sentiasa menjaga dan menghormati kaum bukan Melayu.

“Jika ini tidak dapat diamalkan, rasa tidak puas hati terhadap kaum Bumiptera dan sebaliknya akan berpanjangan dan boleh menjadi ‘duri dalam daging’ kepada perpaduan dan keharmonian kaum di negara ini,” tegasnya.

Syed Agil pula berpendapat kerajaan perlu memperbanyakkan lagi kempen perpaduan kaum, menstrukturkan semula persatuan komuniti supaya amalan perpaduan kaum terus diamalkan dengan baik.

Selain itu, kurikulum pendidikan di sekolah harus diperluas dengan menitikberatkan aspek perpaduan kaum bagi mendidik tentang pentingnya perpaduan dalam kalangan pelajar.

“Penubuhan Sekolah Pemimpin Masa Hadapan bagi menggantikan Program Latihan Khidmat Negara merupakan suatu pendekatan kerajaan untuk merealisasikan semangat perpaduan kaum menerusi program rangsangan patriotisme yang pastinya memberi manfaat besar kepada generasi muda hari ini,” katanya.

Pada masa sama, Syed Agil berkata rakyat juga perlu memainkan peranan dalam mengekalkan perpaduan dan keharmonian termasuk berusaha menghindarkan isu-isu sensitif yang boleh memecahbelahkan kaum.

Hakikatnya, rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama masih bersatu padu. Justeru itu, kita seharusnya bersyukur dengan keamanan yang dinikmati kini.

Persefahaman yang terjalin dalam kalangan rakyat perlulah dikekalkan supaya tiada perasaan curiga antara kaum kerana ia boleh menjejaskan keharmonian yang kita pelihara sejak sekian lama.

Janganlah dek kes terpencil yang didalangi pihak tidak bertanggungjawab, majoriti rakyat menjadi mangsa seperti kata pepatah ‘hanya kerana seekor nyamuk, habis kelambu dibakar.’

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR