Sekumpulan orang membanjiri ibu negara untuk menyertai perhimpunan ‘kesyukuran’ meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). 

Perhimpunan ini, yang dijangka bermula 2 petang hingga 6 petang, adalah anjuran Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu Islam dan disokong oleh UMNO dan PAS.

Mereka yang hadir seawal 6 pagi, mula berkumpul di tiga lokasi _ pusat beli-belah Sogo, Masjid Jamek dan Masjid Negara. Mereka akan berarak ke Dataran Merdeka.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan peserta perhimpunan supaya tidak mencetuskan sebarang provokasi. 10.30 pagi – Jumlah kehadiran peserta mula meningkat di beberapa lokasi di ibu negara. 

11.30 pagi – Sekumpulan Gabungan Seni Silat seluruh Malaysia menyerahkan dan membaca memorandum dan ikrar menolak ICERD di hadapan pintu 3 Istana Negara. 

12.30 tengahari – Ramai peserta perhimpunan mula berkumpul di kawasan sekitar Masjid Jamek.

1.40 petang – Perserta perhimpunan memasuki Jalan Raja dan ada kumpulan mengadakan solat Zohor berjemaah di atas jalan 

2.30 petang – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang antara pemimpin yang hadir pada perhimpunan itu.

3 petang – Terdapat beberapa peserta perhimpunan termasuk mereka yang bawa anak-anak , yang pitam, akibat cuaca panas serta kepenatan akibat menunggu lama.

Keadaan di sekitar Dataran Merdeka terkawal setakat 3.15 petang ini, tiada sebarang insiden yang tidak diingini menurut Polis Kuala Lumpur.

4.57 petang – Para peserta mencari tempat berteduh apabila hujan turun di ibu negara.

5.15 petang – Para peserta bersurai dari perhimpunan di Dataran Merdeka

(Video: Bernama Youtube)

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR