Seorang tekong dan tiga nelayan telah dilaporkan hilang oleh seorang pemilik bot di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan pada 5 Dis iaitu hari yang sama dengan kejadian serangan ke atas sebuah bot tunda oleh sekumpulan empat lelaki di kawasan berhampiran.

Persuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata mengikut laporan itu, ketika ditemui di kawasan tersebut, enjin bot itu masih hidup namun tiada seorangpun berada di dalam bot berkenaan.

“Kita tidak tahu sama ada empat orang ini diculik atau telah melarikan diri. Saya tidak berani menyatakan bahawa mereka telah diculik sehingga ada pengesahan. Cuma memang ada laporan diterima daripada syarikat bot nelayan yang mengatakan bahawa empat pekerjanya hilang daripada bot,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Perhimpunan Bulanan Polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini hari ini (7 Dis).

Omar berkata dua daripada empat nelayan yang berumur antara 19 hingga 40 tahun adalah warga asing manakala dua lagi rakyat tempatan.

Katanya setakat ini pihaknya belum menerima panggilan dari mana-mana pihak meminta wang tebusan berhubung kehilangan empat orang nelayan berkenaan.

Ketika ditanya mengenai perkembangan kes juragan bot tunda yang cedera ditembak empat lelaki dalam cubaan rompakan di Peragus Reef pada petang hari yang sama, Omar berkata pihaknya masih menyiasat sama ada penyerang berkenaan datang dari arah daratan atau dari sempadan perairan negara jiran Filipina.

Bagaimanapun katanya bot laju empat enjin yang digunakan suspek yang semuanya memakai topeng muka itu tidak sama dengan bot-bot yang digunakan penjenayah-penjenayah sebelum ini.

Pada kejadian itu, juragan sebuah bot tunda dikenali sebagai Didy Saviady, 40-an, yang dalam perjalanan ke Papua New Guinea dari Bintulu, Sarawak, cedera di peha kiri terkena tembakan yang dilepaskan empat lelaki bersenjata dalam cubaan rompakan kira-kira jam 6.30 petang di perairan Peragus Reef.

(Video: Bernama Youtube)

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR