Peraturan kini sedang disediakan agar aset digital tertakluk kepada undang-undang sekuriti untuk menggalakkan dagangan yang adil dan teratur serta memastikan perlindungan pelabur, menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Aset digital merujuk kepada mata wang digital dan token digital.

SC akan mengawal selia penerbitan aset digital melalui penawaran syiling awal (ICO) dan dagangan aset digital di bursa aset digital di Malaysia.

“Penerbit ICO dan bursa aset digital yang terbabit dalam penerbitan atau urusan jual beli aset digital yang melibatkan fungsi pembayaran, perlu mematuhi undang-undang dan peraturan BNM yang berkaitan dengan urusan pembayaran dan mata wang,” menurut SC dan BNM dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Di samping itu, penerbit ICO dan bursa aset digital tertakluk kepada Garis Panduan mengenai Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan SC.

BNM mengingatkan bahawa aset digital tidak sah diperlakukan di Malaysia. Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati dalam menilai risiko yang berkaitan ketika berurusan dalam aset digital.

Bagi melaksanakan rangka kerja kawal selia terhadap aset digital, SC dan BNM akan menjalankan kerja penyelarasan bersama untuk memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan di bawah bidang kuasa masing-masing, menurut kenyataan itu. 

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR