Kes saman fitnah difailkan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos berhubung dakwaan penyalahgunaan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) akan cuba diselesaikan secara baik melalui proses mediasi.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam K. Murali yang mewakili Yeo kepada pemberita selepas pengurusan kes di kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad, hari ini yang turut dihadiri peguam Mohamad Fauzi Abdul Samad bertindak bagi pihak Jamal.

Murali berkata proses mediasi bagi kedua-pihak ditetapkan pada 20 Dis ini di Pusat Mediasi, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini.

“Kedua-dua pihak bersetuju untuk merujuk pertikaian ini ke pihak perantara bagi proses mediasi. Jika tiada sebarang penyelesaian, kes saman itu akan diteruskan dengan perbicaraan seperti mana ditetapkan sebelum ini pada 15 hingga 17 April depan,” katanya.

Pada 14 Jun 2017, Yeo, selaku plaintif memfailkan saman itu terhadap Jamal selaku defendan bagi menuntut ganti rugi RM5 juta atas dakwaan defendan mengeluarkan pernyataan berbaur fitnah terhadap plaintif berhubung penyalahgunaan dana Yawas.

Dalam pernyataan tuntutan, Anggota Parlimen Bakri, Johor itu mendakwa pihak defendan telah mengeluarkan pernyataan berbaur fitnah pada 21 Mac 2017 dan kenyataan itu telah disiarkan oleh beberapa akhbar dan portal berita serta turut diterbitkan dalam laman sosial Facebook milik Jamal.

Yeo mendakwa kenyataan itu antara lain memberikan gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana awam untuk kegunaan peribadi dan merupakan seseorang yang tidak mempunyai etika serta tidak boleh dipercayai.

Selain ganti rugi am sebanyak RM5 juta, plaintif turut memohon ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan atau ejennya mengulangi pernyataan itu.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Wanita

VIDEO POPULAR