“Annie angkat kain jemuran, hujan dah turun”. Itu dialog Pendekar Mustar kepada pembantu rumahnya dalam filem Pendekar Bujang Lapok.

Begitu jugalah kehidupan harian kita apabila terdapat tanda-tanda akan hujan. Namun berbeza di Pulau Pinang, kerana bukan hanya kain jemuran yang perlu diangkat malah kenderaan perlu dialihkan dan pelbagai barangan serta peralatan juga perlu diselamatkan jika hujan lebat kerana bimbang berlaku banjir.

Pulau Pinang sejak kebelakangan ini memang sinonim dengan banjir kilat. Hujan lebat yang berlarutan kerap kali menyebabkan beberapa kawasan terutamanya di daerah timur laut dinaiki air.

Mengikut rekod, Pulau Pinang dilanda banjir kilat sebanyak 119 kali sejak 2013 hingga 15 Okt 2017.

Banjir terburuk di negeri ini adalah pada 5 Nov 2017, sekali gus membuka mata banyak pihak mengenai masalah banjir yang dihadapi.

BANJIR TERBURUK

Banjir pada 5 Nov 2017 disifatkan sebagai paling buruk dalam sejarah Pulau Pinang, apabila hampir kesemua kawasan di negeri ini terjejas, lebih buruk banjir itu disusuli angin kencang dan hujan lebat yang turut mengakibatkan berpuluh pokok tumbang selain mengorbankan tujuh nyawa.

Kejadian itu menyebabkan kerajaan negeri memohon bantuan kerajaan persekutuan, yang mana meluluskan peruntukan sebanyak RM150 juta untuk projek pembinaan tebatan banjir fasa ketiga Lembangan Sungai Pinang.

Ada yang mengatakan kejadian banjir itu disebabkan sistem tebatan banjir yang tidak dapat menampung keperluan manakala ada pula yang menyalahkan penggondolan bukit untuk pelbagai projek pembangunan di negeri ini.

Beberapa pihak turut mendesak kerajaan negeri agar membatalkan projek pembangunan berisiko di lereng bukit bagi mengelakkan banjir dan kejadian tanah runtuh.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu Lim Guan Eng berkata musibah banjir di Pulau Pinang tiada kaitan dengan projek pembangunan di negeri ini, sebaliknya ia adalah bencana alam.

TIDAK BOLEH HENTIKAN PEMBANGUNAN

Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC) Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Nor Azazi Zakaria berkata Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang pesat membangun selepas Johor dan Selangor.

Beliau berkata pembangunan yang begitu pesat berlaku kerana terdapat permintaan.

“Pembangunan di Pulau Pinang ini tidak dapat dihentikan sebab penduduk memerlukan tempat tinggal, industri memerlukan pejabat, universiti memerlukan ruang, lebih banyak sekolah diperlukan, jalan raya perlu dipertingkatkan dan sebagainya.

“Ini adalah pertembungan antara pembangunan dengan keperluan infrastruktur, yang mana satu perlu didahulukan? Kita tidak boleh pilih yang mana satu kerana kedua-duanya perlu seimbang,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata negeri ini sangat maju, namun jumlah kawasan takungan air yang ada tidak mencukupi berikutan masalah kekurangan tanah.

“Apa yang berlaku sekarang adalah, kawasan yang khusus untuk sawah padi yang juga merupakan kawasan takungan air telah dibangunkan menjadi kawasan perumahan dan pelbagai pembangunan lain.

“Jadi itulah punca masalah banjir. Pada masa dulu, hujan akan masuk ke sawah padi. Tetapi sekarang, tidak ada lagi sawah padi kerana telah menjadi tapak projek perumahan, dan tidak ada kolam takungan air di kawasan berkenaan untuk menggantikan kawasan yang diambil,” katanya.

LEMBANGAN SUNGAI PINANG

Nor Azazi menyambut baik usaha kerajaan negeri untuk menyegerakan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembangan Sungai Pinang yang tergendala selepas Fasa 1 disiapkan pada 1999. Pelaksanaan projek RTB Lembangan Sungai Pinang Fasa 3 dijangka bermula April tahun depan dan siap sepenuhnya pada tahun 2023.

Projek RTB Sungai Pinang dilaksanakan mulai 1996 menerusi Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK7) berlangsung hingga 2004 di bawah RMK8 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM8.3 juta untuk melindungi penempatan berhampiran muara Sungai Pinang daripada kejadian banjir.

Fasa 3 Projek RTB Sungai Pinang itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 150,000 penduduk dalam kawasan perlindungan banjir seluas 300 hektar.

Nor Azazi berkata projek itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri menangani masalah banjir untuk tempoh jangka masa panjang.

“Ini suatu tindakan yang telah lama patut dibuat, tapi disebabkan bajet yang besar maka kerajaan selalunya menjalankan projek secara berfasa. Akhirnya sesetengah pihak melihat projek ini sebagai tidak efektif berikutan banjir masih berlaku. Ini adalah kerana projek itu belum siap sepenuhnya kerana ia melibatkan kos yang sangat tinggi,” jelas beliau.

Beliau berkata kepimpinan kerajaan persekutuan yang sudah berubah diharap dapat memberi kemudahan kepada kerajaan negeri untuk memperoleh peruntukan sekali gus menyegerakan projek-projek tebatan banjir di negeri ini.

KERJASAMA SEMUA PIHAK

Nor Azazi berkata isu banjir di negeri ini perlu dilihat secara holistik dan usaha menangani masalah itu memerlukan kerjasama semua pihak, bukan hanya terletak pada kerajaan negeri mahupun kerajaan persekutuan sahaja.

Beliau mencadangkan kerajaan negeri agar memperkenalkan sistem takungan air kepada semua isi rumah di negeri ini dengan menyarankan setiap rumah untuk menyediakan satu tangki untuk menampung air hujan bagi mengelak berlaku banjir.

“Contohnya setiap rumah boleh menakung satu meter kiub air hujan melalui sebarang sistem sama ada di bawah atau di atas bumbung. Jika ini dijadikan satu polisi, ia boleh menjadi satu kaedah pencegahan.

“Jika kerajaan menjadikannya satu kemestian untuk setiap rumah menyediakan tangki dan menyediakan kawasan tadahan sendiri, cuba bayangkan berapa banyak air yang dapat kita jimat. Air takungan itu boleh digunakan untuk menyiram tumbuh-tumbuhan atau mencuci kereta,” katanya.

Selain itu, Nor Azazi berkata orang ramai juga perlu memainkan peranan dengan sentiasa menjaga kebersihan sungai dan longkang bagi mengelakkan air bertakung.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR