Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin Pakatan Harapan (PH) mampu menawan kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan datang. 

Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata mana-mana calon yang akan bertanding pada PRK itu akan mewakili PH dan bukannya parti tertentu dalam perikatan itu. 

“Ini kerana Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah menegaskan beberapa kali kita mesti bertindak sebagai PH,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat tapak Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018 di sini, hari ini (1 Dis).

Semalam, mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan keputusan pilihan raya kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Mei lepas yang memberikan kemenangan kepada calon Barisan Nasional (BN) adalah terbatal dan tidak sah.

Hakim Datuk Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas mendapati bahawa terbukti wujud amalan rasuah yang diketahui dan mendapat keizinan Anggota Parlimen kawasan itu, Datuk C Sivarraajh.

Hari ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata partinya, yang juga merupakan anggota PH, berhasrat bertanding di kerusi itu. 

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR