Keputusan sama ada DAP akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands hanya akan ditentukan selepas keputusan rayuan di mahkamah.

Mahkamah Pilihan Raya semalam membatalkan kemenangan parti Barisan Nasional (BN) bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) setelah mendapati calonnya Datuk C Sivarrajh terlibat amalan rasuah. 

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang juga Anggota Parlimen Iskandar Puteri berkata “Kita tunggu sama ada rayuan akan dibuat”.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Aktiviti DAP Ayer Keroh di sini hari ini beliau berkata, semua pihak masih mempunyai masa dua minggu untuk membuat rayuan dan segala keputusan mengenai PRK itu hanya akan dibuat selepas itu.

Turut hadir pada majlis perasmian itu Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong juga Pengarah Pendidikan Politik DAP; dan anggota Exco bagi Komunikasi Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan Negeri, Kerk Chee Yee yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Ayer Keroh.

Bernama sebelum ini melaporkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membayangkan DAP akan bertanding di PRK Cameron Highlands memandangkan ia adalah kerusi tradisi parti itu.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR