Agensi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi pelarian Palestin mempunyai defisit pembiayaan hanya sebanyak 10 peratus selepas beberapa negara tampil menghulurkan sumbangan bagi menampung kekurangan yang disebabkan penarikan balik sokongan kewangan oleh Amerika Syarikat (AS), kata Duta Palestin ke India.

Presiden AS Donald Trump telah “membesar-besarkan” peranannya dalam usaha mengenakan tekanan dari segi kewangan ke atas Palestin, dan dalam proses itu “telah kehilangan beberapa sekutu terbaik” AS di Timur Tengah, kata Adnan Abu Alhaija ketika sambutan ‘Hari Solidariti Antarabangsa dengan Rakyat Palestin’ di New Delhi semalam.

Jabatan Negara AS telah mengumumkan pada 31 Ogos bahawa Washington tidak lagi akan menyalurkan dana kepada Agensi Kerja dan Bantuan PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) serta menyifatkannya sebagai satu “operasi cacat yang tidak dapat ditebus.”

Usaha UNRWA memanfaatkan kira-kira lima juta pelarian Palestin di Jordan, Lubnan, Syria, Tebing Barat dan Gaza.

Duta Palestin itu berkata memandangkan banyak negara sahabat yang tampil menghulurkan bantuan, jurang dalam dana UNRWA “hanyalah 10 peratus berbanding jumlah terdahulu sebelum AS membuat keputusan untuk menarik balik bantuannya.”

Beliau berkata AS berharap Palestin akan tunduk di bawah tekanan itu dan menerima “tuntutan tidak sah negara tersebut” yang memihak kepada Israel.

“Kami tidak akan berkompromi dengan prinsip asas perjuangan kami. Jika AS dan rejim di Tel Aviv percaya bahawa kami akan melepaskan hak kami untuk pulang atau ke atas Baitulmaqdis, biar saya beritahu mereka bahawa kami akan terus memperjuang hak kami sebagaimana yang telah kami lakukan sejak lebih seabad yang lalu,” kata Alhaija.

Duta itu berkata pentadbiran AS “tidak pernah menjadi pengantara yang adil” dan sering mempamerkan pendirian pro-Israel tanpa mengira parti mana yang memerintah, sama ada Republikan atau Demokrat.

Dengan Trump yang secara terbuka memihak kepada Israel, “topeng kepuraan-puraan negara itu selama ini telah lenyap dan wajah sebenar serta asli dasar Amerika kini boleh dilihat dengan jelas oleh semua orang,” kata Alhaija kepada hadirin yang turut membabitkan diplomat kebanyakan negara Islam.

Beberapa dasar Trump, terutama keputusan beliau untuk memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, telah membangkitkan kemarahan Palestin.

Sambil menggesa agar tekanan terhadap Israel dipertingkat, duta Palestin itu berkata kempen boikot antarabangsa, pelaburan negatif dan sekatan (BDS) telah “menyebabkan pelobi rejim Zionis itu berang” kerana ia telah berjaya dicapai tanpa sebarang kekerasan.

“Kerajaan Israel telah mengetepikan sejumlah US$75 juta untuk menentangnya. Dengan bantuan pelobi rejim Zionis di AS, ia telah berjaya meluluskan undang-undang atau perintah eksekutif di 26 negara dalam usaha menghentikan BDS.”

Diterjemah dan disunting oleh Sabarina Baharom

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Global

VIDEO POPULAR