MForce Bike Holding Sdn Bhd, hari ini, melancarkan satu lagi jenama motosikal tempatan, WMoto dengan model sulungnya, Cub Classic 110, yang bergaya moden klasik dengan reka bentuk unik dan tersendiri.

WMoto atau Wawasan Moto adalah jenama motosikal tempatan kedua MForce Bike selepas SM Sport yang diperkenalkan pada 2017.

Pengurus Besar (Operasi) MForce Bike, Asri Ahmad, berkata selepas 10 tahun terbabit dalam dunia permotoran, MForce Bike kini memiliki hampir kesemua jenis motosikal dan skuter yang terdapat dalam pasaran bagi memenuhi kehendak rakyat Malaysia.

Menurut kenyataan dikeluarkan MForce Bike, WMoto dilengkapi penghidup enjin elektrik serta penendang kaki yang memudahkan proses menghidupkan enjin, satu soket pengecas USB selain lampu LED yang terang pada bahagian hadapan dan belakang untuk meningkatkan keselamatan penunggang.

Pelana belakang motosikal ini pula boleh ditanggal sekiranya ingin menunggang bersendirian.

WMoto didatangkan dengan tiga pilihan warna iaitu Matte Merah, Matte Hijau dan Matte Hitam, dijual pada harga runcit RM4,588 tidak termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST), yuran pendaftaran dan insurans.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Ekonomi

VIDEO POPULAR