Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, projek-projek Persekutuan di Sarawak akan diteruskan tanpa mengira kerajaan yang memerintah negeri ini.

Beliau berkata, bagi Kerajaan Persekutuan, Sarawak adalah sebahagian daripada Malaysia dan pembangunan negeri ini adalah tanggungjawab Putrajaya.

“Sudah tentu kami lebih suka dengan sebuah kerajaan yang mesra, dari parti yang sama dengan Kerajaan Persekutuan (Pakatan Harapan).

“Tetapi sama ada ia kerajaan yang berbeza atau sama, projek Persekutuan di Sarawak akan diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat tertutup mengenai kemajuan projek Persekutuan di Sarawak di sini hari ini (2 Dis). 

Ditanya mengenai Kerajaan Negeri Gabungan Parti Sarawak (GPS) menawarkan RM1 bilion untuk digunakan bagi membina semula sekolah yang uzur di negeri ini, beliau berkata ia satu pinjaman.

“Saya rasa mereka (Kerajaan Negeri) mahu pinjamkannya kepada kita. Tetapi Kerajaan Negeri juga berhutang wang dengan kita.

“Kita lebih setuju sekiranya mereka bayar sahaja wang yang mereka hutang dengan kita… Mereka mempunyai banyak wang dan belanjawan Sarawak adalah yang terbesar di Malaysia, RM11 bilion (tahun hadapan),” katanya.

Dr Mahathir juga berharap Kerajaan Negeri Sarawak tidak begitu mendesak berhubung royalti minyak kepada negeri ini. Sarawak menuntut agar royalti minyak sebanyak lima peratus daripada Kerajaan Persekutuan dinaikkan kepada 20 peratus sebagai sebahagian daripada hak istimewa negeri seperti termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Mengenai membina semula dan menaiktaraf 116 sekolah yang uzur di seluruh negeri ini melibatkan peruntukan RM443.5 juta tahun ini beliau berkata, ia mengambil masa agak panjang untuk mendapatkan bahan pembinaan.

Setakat ini 77 buah sekolah seumpama telah siap dan 39 lagi dalam pelbagai fasa pelaksanaan yang menggunakan sistem pembinaan penindustrian (IBS).

Semasa sesi taklimat oleh Setiausaha Persekutuan Sarawak, Datuk Mansor Man, Perdana Menteri juga diberitahu bahawa 597 projek fizikal berjumlah RM14 bilion diperuntukkan kepada negeri ini di bawah Rancangan Malaysia ke-11.

Dr Mahathir, yang tiba di bandar minyak dan gas ini petang semalam untuk melancarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak, kemudian berlepas ke ibu negara dari Lapangan Terbang Bintulu.

Beliau ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.


(Video: Bernama Youtube)

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR