Kerajaan akan sentiasa berusaha memastikan Malaysia kembali menjadi bersih dan baik serta memastikan ekonomi negara berada di tahap memberangsangkan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Lim berkata pada masa ini menjadi satu tugas berat bagi kerajaan baharu dan memerlukan sekurang-kurangnya masa selama tiga tahun untuk membawa negara ini kembali ke pangkal jalan.

“Untuk Malaysia sudah tentu itu satu tugas yang jauh lebih berat dan tak semudah ini. Kita perlu ambil masa yang agak panjang. Tapi dalam Belanjawan 2019 kita tetapkan satu tempoh masa tiga tahun supaya kita boleh balik ke pangkal jalan.

“Bila saya sebut balik ke pangkal jalan tak bermakna kita boleh kurangkan hutang, tapi sekurang-kurangnya dalam keadaan yang sihat di mana kita boleh menangani masalah hutang besar sampai 1 trilion, lebih 1 trilion, masalah wang yang tidak cukup dan sebagainya.

“Maka itulah langkah dalam tempoh masa tiga tahun untuk balik ke pangkal jalan supaya kita boleh sihat semula. Sungguh pun sekarang ekonomi dalam keadaan tenat, tetapi saya yakin dan lihat beberapa unjuran yang baru, bukan sahaja dari segi pelaburan langsung asing (FDI) sahaja kita naik, malahan dalam laporan ekonomi Bloomberg yang terbaru, diantara semua negeri-negeri (negara) membangun, Malaysia nombor satu,” katanya.

Lim berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program ‘Smart Green Community’ di Tapak Pertanian Dalam Bandar Lebuh Padang Tembak, Air Itam di sini hari ini (1 Dis).

Lim berkata kedudukan tersebut merupakan satu prestasi yang baik biarpun kerajaan kini baharu memerintah selama enam bulan dan boleh mencapat kedudukan tempat pertama.

“Tapi itu hanya permulaan, kita masih ada jalan panjang lagi untuk pulihkan keadaaan ekonomi tetapi sekurang-kurangnya kita berada dalam landasan ekonomi yang betul. Itu yang penting. Kalau kita lihat dari segi jumlah pelaburan luar negeri yang datang ke Malaysia untuk sembilan bulan pertama amat memberangsangkan, kalau tahun lepas kira-kira RM14 bilion, tapi sembilan bulan pertama tahun ini adalah RM49 bilion pelaburan iaitu hampir empat kali ganda.

“Ini satu tanda yang amat baik yang menunjukkan keyakinan luar negeri bertambah di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berusaha bersunguh-sunguh hendak membersihkan Malaysia, dan mahu kembalikan Malaysia ke pangkal jalan yang betul, dan hendak beritahu satu dunia bahawa Malaysia sekarang telah bebaskan diri dari genggaman dan belenggu kleptokrasi sedunia, dan menjadi sebuah negara demokrasi yang sihat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Lim menggesa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tidak terus menuding jari kepadanya berhubung isu penjualan 16 peratus kepentingan dalam IHH Healthcare Bhd kepada Mitsui & Co Ltd kerana segala urusan Khazanah Nasional Bhd adalah di bawah perdana menteri Dr Mahathir.

“Datuk Seri Najib ada membuat kenyataan terhadap saya, ini saya rasa dia telah sesat sasaran kerana itu bukan di bawah saya dan saya harap janganlah semua benda hendak sasarkan pada saya , itu urusan Khazanah adalah di bawah perdana menteri, bukan di bawah saya. Saya pun tidak terlibat dalam urusan itu. jadi saya harap janganlah apa -apa pun hendak salahkan saya,” katanya.

Sementara itu ketika ditanya mengenai keperluan pihak pembangkang mengadakan perhimpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), 8 Dis ini, Lim meminta pihak berkenaan mendengar nasihat daripada beberapa pihak termasuk menteri dalam negeri dan pakar-pakar.

“Secara peribadi saya rasa sesiapa yang hendak membuat perhimpunan sekiranya dalam keadaan aman, itu memang dibenarkan.Tetapi dalam keadaan seperti ini, saya rasa itu mungkin tidak berapa sesuai buat masa kini (untuk adakan perhimpunan),” katanya.

Pada 23 Nov lepas, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan menyatakan kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi ICERD dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang di dalamnya termaktub kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR