Pemain skuad Harimau Malaya digesa menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk meraih keputusan positif berdepan juara bertahan, Thailand pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menjelaskan pemain perlu segera melupakan rekod bersih yang dilakar di laman sendiri pada aksi pusingan awal dan memberi fokus sepenuhnya berdepan skuad Gajah Perang yang sudah meledak 15 gol pada saingan peringkat kumpulan, sebelum ini.

“Rekod adalah rekod, tetapi perlawanan esok agak berbeza kerana kita tahu jangkaan daripada penyokong adalah untuk kita dapat bekalan selesa sebelum berkunjung ke Bangkok untuk aksi timbal balik selepas ini.

“Kita semua tahu pasukan Thailand mempunyai kekuatan yang seimbang di setiap posisi tapi saya harap pemain dapat mencatat keputusan yang positif pada perlawanan esok,” jelas Cheng Hoe pada sidang media praperlawanan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, jurulatih berusia 50 tahun itu berharap barisan pertahanan dapat mengekang jentera serangan Thailand daripada menjaringkan gol bagi memastikan skuad negara mampu meraih kelebihan selesa pada aksi timbal balik di Stadium Rajamangala, Bangkok pada 5 Disember ini.

Sementara itu, ketua jurulatih Thailand, Milovan Rajevac, berkata anak buahnya akan berjuang berhabis-habisan untuk mencalar rekod bersih Malaysia di laman sendiri di sini serta menempah slot ke final.

“ Seperti yang telah saya sebutkan sebelum ini, gaya permainan kami tetap sama, sama ada bermain dalam laman sendiri mahupun di gelanggang lawan,” katanya.

Menurut jurulatih berusia 64 tahun, adalah penting untuk anak buahnya memberi tumpuan penuh sepanjang perlawanan dengan misi memecah tradisi kemenangan Malaysia di laman keramat mereka sendiri.

Pada edisi lalu pada 2014, Malaysia mengalahkan Thailand 3-2 pada final kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil tetapi usaha terpuji itu tidak mampu menyekat Thailand untuk muncul juara buat kali keempat dengan kemenangan agregat 4-3.

Thailand menang 2-0 pada final pertama di Bangkok.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR