Kerajaan negeri Kedah akan memberi perhatian sewajarnya terhadap keperluan keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim yang cedera parah ketika menjalankan tugas sebagai anggota bomba dalam rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada Selasa.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata kerajaan negeri telah mula menghulurkan bantuan kepada keluarga anggota bomba itu ketika Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berangkat menziarahi Muhammad Adib yang kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), semalam.

“Wakil kerajaan negeri iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Bakar Din yang menyerahkan bantuan bagi pihak kerajaan negeri.

“Tetapi apa juga keperluan keluarga anggota bomba itu kami beri perhatian sebaiknya-baiknya,” kata Mukhriz kepada pemberita selepas melawat Muhammad Adib hari ini,” katanya.

Beliau turut meluahkan rasa syukur dengan keadaan mangsa insiden rusuhan itu yang semakin baik dan mengharapkan orang ramai mendoakannya segera sembuh.

“Saya sempat berjumpa dengan keluarganya dan mereka berharap sama macam kita semua harapkan agar beliau (Muhammad Adib) cepat baik dan kembali bertugas sebagai anggota bomba,” katanya.

Muhammad Adib, 24, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, dilaporkan dipukul sekumpulan perusuh ketika dalam operasi memadam kebakaran kenderaan di hadapan kuil berkenaan.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR