Seramai 40 sukarelawan MYCorps di bawah Kementerian Belia dan Sukan kini dalam misi selama lebih dua bulan untuk membantu 12 komuniti setempat di tujuh negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

Selain Sabah dan Sarawak, lima negeri lain ialah Kedah, Pahang, Perak, Kelantan dan Terengganu

MYCorps dalam kenyataan hari ini berkata lokasi berkenaan dipilih berdasarkan keperluan untuk projek pembangunan sosial seperti akses kepada air bersih, sanitasi yang sesuai serta mewujudkan masyarakat dan persekitaran yang mampan.

Salah satu misi MYCorps tahun ini adalah untuk membantu komuniti tanpa kerakyatan di Malaysia termasuk isu Bajau Laut – sebuah komuniti di Sabah, menurut kenyataan itu.

“Masyarakat itu tidak mempunyai kewarganegaraan dan oleh itu tidak boleh menggunakan hak asasi mereka. Kebanyakakan anak-anak mereka tidak berpendidikan dan mereka banyak bergantung kepada laut bagi mendapat sumber pendapatan untuk meneruskan kehidupan,“ menurut badan sukarelawan itu.

Selain itu, ia berkata sukarelawan belia tersebut juga akan memperjuangkan isu-isu pelarian, Orang Asli dan masyarakat terpinggir di negara ini.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR