Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menafikan laporan berita yang mendakwa pengurusan dan kakitangannya membantah keras cadangan penggabungan dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab berkata, pengurusan dan kakitangan organisasi itu terbuka kepada cadangan penggabungan antara kedua-dua entititi seperti dicadangkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

“Kami tidak membantah cadangan tersebut. Kami terbuka kepada idea itu,” kata beliau ketika menafikan laporan bertajuk “No RTM-Bernama merger” yang disiarkan oleh The Malaysian Reserve.

Laporan itu, antara lain, mendakwa bahawa cadangan penggabungan untuk mewujudkan gergasi media milik kerajaan secara rasmi telah ditangguhkan kerana bantahan keras daripada kakitangan dan pengurusan kedua-dua organisasi.

“Sebagai agensi kerajaan, pengurusan dan kakitangan Bernama akan mematuhi apa sahaja keputusan yang akhirnya dicapai mengenai perkara ini,” kata Zakaria.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR