Johor Corporation (JCorp) dinasihati mengkaji secara mendalam terlebih dahulu mengenai risiko dan kesan jangka panjang sesuatu perniagaan sebelum menceburinya, titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Baginda bertitah ia bagi mengelakkan syarikat milik kerajaan negeri itu terlibat dengan bidang perniagaan yang tidak diketahuinya atau tidak sesuai dengan keadaan negara.

Sebagai sebuah perbadanan yang telah lama terlibat dalam pembangunan ekonomi negeri, JCorp seharusnya belajar daripada kesilapan lama, iaitu projek ladang ternakan rusa.

“Projek ladang rusa yang pernah diusahakan oleh JCorp pada satu ketika dahulu gagal bertahan kerana tiada kepakaran dan keadaan negeri kita yang tidak sesuai dengan haiwan tersebut.

“Oleh yang demikian, untuk merancang projek baharu pada masa akan datang, saya nasihatkan supaya JCorp lebih berhati-hati dan memberikan fokus kepada tujuan asal penubuhannya,” titah baginda pada majlis sambutan gala 50 tahun JCorp di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor (PERSADA) di sini, hari ini (29 Nov).

Sultan Ibrahim turut menjelaskan baginda berhak menggantikan ketua pegawai eksekutif (CEO) dan anggota lembaga pengarah JCorp yang sedia ada dengan orang lain sekiranya mereka gagal menjalankan tugas secara sempurna.

Baginda bertitah, kuasa dan hak itu termaktub di dalam Enakmen Perbadanan Johor Bilangan 4 Tahun 1968 namun ia tidak bermakna raja mencampuri urusan pentadbiran.

“Tetapi ia untuk memastikan adanya semak dan imbang dalam perbadanan tersebut. Tambahan pula, jawatan pengerusi JCorp telah ditetapkan untuk menteri besar, maka pelantikan CEO mestilah bebas daripada cengkaman politik yang akan hanya menurut kata menteri besar sahaja,” titah baginda.

Sultan Ibrahim menegaskan baginda tidak mahu apa yang berlaku di dalam beberapa syarikat kerajaan di peringkat persekutuan, turut berlaku di dalam syarikat milik kerajaan negeri ini.

“Lihatlah apa yang telah berlaku di dalam beberapa syarikat di peringkat persekutuan, yang mana pelantikan ketua eksekutif telah dibuat atas dasar politik, maka CEO tersebut terpaksa mengikut telunjuk dan bertindak demi kepentingan politik sehingga membelakangkan kepentingan kerajaan dan rakyat, seperti kata pepatah ibarat lembu di cucuk hidung,” titahnya.

Selain itu, Sultan Ibrahim mahu JCorp turut memberi tumpuan kepada usaha membantu kerajaan menyediakan pembangunan hartanah yang sesuai dengan keperluan masyarakat terutama rumah mampu milik.

Malah JCorp juga, titah baginda, tidak seharusnya terlalu mengutamakan keuntungan maksimum, sebagaimana pemaju swasta lain.

Sebagai contoh sekiranya kerajaan memberikan tanah kepada JCorp pada kadar harga yang rendah, maka JCorp harus menawarkan harga rumah yang lebih rendah berbanding pemaju swasta lain.

Beliau pada masa sama turut berharap projek Rumah Impian Bangsa Johor yang dilaksanakan oleh JCorp, dapat diperluaskan ke daerah lain demi memberikan peluang kepada setiap keluarga memiliki rumah sendiri.

Pada majlis itu, Sultan Ibrahim turut berkenan melancarkan logo baharu JCorp sempena ulang tahun ke-50 penubuhan syarikat itu.

Berangkat sama ke majlis itu Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR