Bantuan berjumlah RM1 juta yang akan diberikan kepada 10 penternak di bawah Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat (LPKKL) dilihat sebagai inisiatif mengawal harga dan menyelesaikan masalah kekurangan bekalan ayam terutama pada musim perayaan. 

Pengarah Pengurusan Kumpulan Ramly, Datuk Dr Ramly Mokni berkata bantuan itu yang merupakan geran di bawah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) disalurkan melalui LPKKL dan syarikatnya, Ramly Poultry Intergrator Sdn Bhd (RPISB) akan memberi latihan kepada penternak.

“Bantuan itu merangkumi semua aspek di mana RPISB akan membekalkan anak ayam, makanan ayam serta khidmat nasihat berkaitan pasaran dan pengurusan kepada LPKKL. Untuk itu, bantuan dan program ini adalah platform kepada usahawan Bumiputera dalam usaha membekalkan ayam pedaging kepada pusat penyembelihan milik RPISB. 

“Lebih utama, pusat penyembelihan kami (RPISB) yang dijangka siap pada 2020 bernilai RM100 juta dengan menggunakan teknologi terbaru mampu melakukan sembelihan sehingga 96,000 ekor ayam sehari sebagai permulaan. 

“Ini akan membantu industri pemprosesan daging dan bekalan ayam terutama pada musim perayaan nanti serta memastikan bekalan ayam di pasaran sentiasa mencukupi,” katanya ketika ditemui pemberita di majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Ramly Poultry Integrator Sdn Bhd dan LPKKL di sini hari ini. 

Majlis menandatangani perjanjian tersebut disaksikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub di Ekspo Pertanian Hortikutur dan Agropelancongan Malaysia 2018 (MAHA 2018) di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini hari ini (28 Nov).

Di samping itu, Ramly menjelaskan pihaknya dalam usaha menjadi syarikat Bumiputera yang pertama mempunyai rangkaian ekosistem industri halal ayam yang lengkap dengan pusat penetasan telur, ladang ternakan, pusat penyembelihan dan pusat pemasaran. 

“Kami harap program ini dapat mewujudkan kesan ekonomi berganda terutama kepada penternak moden golongan muda di kawasan luar bandar.

“Oleh itu, pendapatan penternak ini yang rata-rata daripada kumpulan B40 dapat ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya RM4,000 sebulan,” katanya. 

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Ekonomi

VIDEO POPULAR