Sarawak merekodkan satu lagi kes rabies dalam kalangan manusia apabila seorang lelaki disahkan dijangkiti penyakit itu semalam, menjadikan jumlah keseluruhan 14 kes sejak wabak diisytiharkan di negeri ini pada 30 Jun tahun lalu.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Kementerian Kesihatan berkata pemuda berusia 21 tahun dari Batu 7 di sini disahkan dijangkiti rabies melalui ujian sampel klinikal.

“Pesakit itu pernah digigit oleh seekor anjing tidak bertuan pada 4 Okt lalu. Status vaksinasi anjing tersebut serta keadaan kesihatannya tidak diketahui.

“Lelaki berkenaan sedang menerima rawatan dan dalam pemerhatian rapi pakar-pakar klinikal di Hospital Umum Sarawak (HUS) setelah dimasukkan ke wad dan pemeriksaan mendapati pesakit mempunyai gejala hydrophobia, aerophobia dan kekeliruan,” demikian menurut kenyataan itu.

Setakat ini jangkitan rabies dalam kalangan manusia di Sarawak mencatatkan 12 kematian, satu kes dirawat di rumah dengan komplikasi neurologi dan kes terbaharu dalam rawatan di HUS.

Sehingga 25 Nov lalu, kerajaan negeri mengisytiharkan 54 kawasan di 11 bahagian sebagai kawasan jangkitan rabies dengan hanya Limbang masih bebas rabies dalam kalangan haiwan.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR