Kontinjen Tentara Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) muncul johan Program ASEAN Armies Rifle Meet (AARM) 2018 yang berakhir hari ini di Kem Terendak, selepas mengungguli sembilan daripada 15 disiplin yang dipertandingkan.

Majlis penyampaian dan perasmian penutup acara itu telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat Malaysia, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi yang turut dihadiri sembilan Panglima Tentera Darat negara ASEAN lain.

Pada edisi ke-28 kali ini, ia mengangkat tema ‘Fostering Camaraderie’ yang membawa maksud pemerkasaan semangat persaudaraan dan kesatuan dalam kalangan Tentera Darat ASEAN iaitu dari negara tuan rumah Malaysia selain Thailand, Singapura, Indonesia, Vietnam, Filipina, Laos, Myanmar, Brunei dan Kemboja.

Majlis penyampaian dan perasmian penutup acara itu telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat Malaysia, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi yang turut dihadiri sembilan Panglima Tentera Darat negara ASEAN lain. (Foto: Bernama)

Seramai 550 peserta dari kesemua negara ASEAN terlibat mengambil bahagian pada pertandingan yang bermula sejak 17 November lalu bagi merebut 15 piala pusingan yang mempertandingkan acara pistol (lelaki), pistol (wanita), rifle, carbine dan machine gun yang dijalankan secara individu dan berkumpulan.

Sementara itu, Ahmad Hasbullah berkata AARM itu merupakan penganjuran kali kelima Tentera Darat Malaysia (TDM) selepas kali terakhir menganjurkannya pada 2010 yang dilaksanakan setiap tahun secara bergilir dalam kalangan negara anggota.

Beliau berkata, program tahunan yang mula diperkenalkan pada tahun 1991 oleh TDM sebagai satu bentuk pengukuhan hubungan kerjasama dalam kalangan Tentera Darat negara ASEAN melalui pertandingan menembak di samping memupuk semangat muhibah, setiakawan serta semangat ASEAN.

“Apa yang penting daripada nilai-nilai acara ini, kemenangan bukan apa yang kita tuju, tetapi ia adalah persahabatan yang mana hubungan sesama manusia dan sikap saling hormat-menghormati itu yang lebih mustahak.

“Kita mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pemenang, untuk penganjuran AARM tahun depan, Indonesia pula akan menjadi tuan rumah di Bandung,” katanya.

Sempena AARM 2018, turut diadakan ASEAN Chiefs of Armies Multilateral Meeting (ACAMM) siri ke-19 yang berobjektifkan mengenal pasti cabaran dan permasalahan yang dihadapi oleh ASEAN dalam aspek keselamatan serantau selain ASEAN Sergeant Major Annual Meeting (ASMAM) siri ke-8.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR