Kepada mereka yang berminat untuk memulakan perniagaan khususnya kepada golongan berpendapatan rendah (B40), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) menjemput anda ke Pavilion TEKUN di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2018, di sini.

Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif TEKUN, Datuk Baharom Embi berkata pelbagai produk pembiayaan dan perkhidmatan TEKUN ada di pavilion mereka termasuk pusat sehenti keusahawanan (PSK).

Baharom berkata PSK merupakan pusat rujukan setempat yang berperanan sebagai pusat penyimpanan data, mengumpul maklum balas serta memberi khidmat nasihat kepada para usahawan dan perusahaan kecil dan sederhana.

Baharom berkata PSK merupakan pusat rujukan setempat yang berperanan sebagai pusat penyimpanan data, mengumpul maklum balas serta memberi khidmat nasihat kepada para usahawan dan perusahaan kecil dan sederhana. (Foto: Bernama)

Katanya, ke semua maklumat produk pembiayaan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan boleh diperolehi di kaunter PSK itu.

“Sejak ditubuhkan pada tahun 1998 sehingga kini, kami telah menyalurkan RM5.27 bilion kepada 417,542 orang usahawn mikro di seluruh negara.

“Pada 2018, TEKUN Nasional telah menyalurkan RM300.4 juta kepada 16,751 usahwan mikro,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di MAHA di sini, hari ini (27 Nov).

Baharom berkata TEKUN akan terus memperkasakan agenda membangun usahawan Bumiputera dan komited untuk membantu golongan B40 meningkatkan pendapatan.

Katanya, bidang perniagaan kini semakin menjadi pilihan rakyat Malaysia terutamanya golongan belia dan bagi yang kurang berkemampuan, pencarian modal merupakan isu besar yang dihadapi.

“Sebenarnya, terdapat banyak geran dan pinjaman perniagaan yang ditawarkan oleh pihak kerajaan untuk para usahawan memulakan atau mengembangkan perniagaan.

“TEKUN Nasional memainkan peranan sebagai agensi yang menguruskan dana itu bagi pembiayaan mudah dan cepat kepada usahawan mikro yang berpotensi,” katanya.

Tambah beliau, para usahawan yang menyertai program TEKUN akan diberikan khidmat bimbingan dan sokongan bagi memajukan lagi perniagaan yang dijalankan.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Ekonomi

VIDEO POPULAR