Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof hari ini telah mengadakan mesyuarat dengan Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Tokyo dan Sukan Paralimpik 2020 di sini hari ini (27 Nov).

Kementerian Pembangunan Usahawan dalam satu kenyataan berkata, jawatankuasa itu diwakili oleh Ketua Pengarah Tushiro Muto dan Ketua Pegawai Operasi Yukihiko Nunomura.

Semasa mesyuarat selama 30 minit itu, Jawatankuasa Penganjur Tokyo telah menyambut baik cadangan produk halal Malaysia untuk dipromosi dan dibekalkan kepada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Kedua-dua pihak bersetuju bahawa Memorandum Kerjasama mengenai Halal yang dimeterai semalam antara Malaysia dan Jepun memberikan peluang kepada kedua-dua negara untuk bekerjasama dalam sektor halal termasuk membuka potensi perniagaan yang belum diterokai.

“Mohd Redzuan menyakinkan jawatankuasa tersebut bahawa kementeriannya akan membantu memudahkan eksport syarikat-syarikat Malaysia bagi memenuhi permintaan pasaran Jepun. Menteri itu juga menekan kerjasama kepakaran dalam menjalankan serta membangunkan ekosistem halal,” katanya.

Mohd Redzuan sedang dalam lawatan kerja selama tiga hari ke Jepun, ia berakhir hari ini.

Semasa lawatan, Mohd Redzuan mengambil kesempatan untuk mempromosikan Ekspo Halal 2019, yang akan diadakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan pada 24-27 Jan ini di Kuala Lumpur.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR