Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini (26 Nov) melakukan kunjungan hormat kepada Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Qatar Dr Khalid Mohammed Al Attiyah di sini.

Terdahulu, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengadakan pertemuan dengan Menteri Kesihatan Qatar Dr Hanan Al Kuwari di Hospital Wanita dan Penyelidikan.

Dr Wan Azizah, yang sedang dalam lawatan rasmi tiga hari ke Qatar turut melakukan tinjauan di hospital kerajaan itu yang dikhususkan untuk pesakit wanita.

Timbalan perdana menteri juga menghadiri mesyuarat meja bulat anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan agensinya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dengan kerjasama Persatuan Perdagangan Qatar.

Mesyuarat itu bertujuan meninjau bidang-bidang yang berpotensi untuk kerjasama perdagangan antara Malaysia dan Qatar selain memudahkan pelaburan langsung asing serta menggalakkan perdagangan bilateral antara kedua-dua negara.

Turut menyertai mesyuarat Pengerusi Persatuan Perniagaan Qatar Sheikh Faisal Qassim Al Thani dan Naib Pengerusi Dewan Perdagangan Qatar Muhammed Bin Ahmed Bin Towar Al-Kuwari, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia Datuk Ignatius Darell Leiking, dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah.

Mesyuarat itu disertai oleh 60 ahli perniagaan Qatar dan 18 syarikat Malaysia yang beroperasi di Malaysia and Qatar.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR