Insiden kekecohan yang berlaku di kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights di sini awal pagi tadi dilihat telah semakin reda.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian sekitar 9 pagi ini mendapati jumlah orang ramai yang berkumpul sejak malam tadi semakin berkurangan dan tiada sebarang provokasi dilakukan.

Keadaan hujan lebat yang turun sejak pukul 3 pagi ini turut dipercayai menjadi faktor jumlah orang ramai meninggalkan kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, dua rangka kenderaan yang dibakar awal pagi ini masih berada di tengah-tengah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) di kedua-dua arah hingga menyebabkan kesesakan lebih dua kilometer.

Kejadian kira-kira jam 2 pagi Isnin itu tercetus apabila puluhan individu berkumpul dan merusuh di kawasan tapak kuil hingga berlaku pergaduhan antara dua kumpulan yang menyebabkan 18 kereta pelbagai jenis dan dua motosikal terbakar.

Ekoran kejadian itu, polis dilaporkan telah menahan 17 individu bagi membantu siasatan insiden tersebut.

Difahamkan kekecohan tersebut tercetus berhubung isu perpindahan tapak kuil itu ke lokasi baharu.

Insiden itu terus berlarutan hingga awal pagi tadi, apabila sebahagian orang ramai yang berkumpul sekali lagi membakar tiga rangka kenderaan di tengah jalan sebelum sebahagian daripada mereka yang berkumpul di kuil bergerak ke Menara MCT yang menempatkan pejabat pemaju One City Development Sdn Bhd (One City), kira-kira dua kilometer dari kuil itu, sebelum bertindak merosakkan harta benda termasuk memecahkan cermin bangunan dan kenderaan.

Seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat parah dipercayai dipukul perusuh manakala sebuah jentera Bomba serta sebuah ambulan turut dirosakkan dalam kejadian itu. 

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR