Tujuh bayi antara yang bertuah kerana mendapat ‘sentuhan diraja’ apabila Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah hadir pada majlis cukur jambul di Kampung Temenin Baru, dekat sini, hari ini.

Raja Zarith Sofiah berkenan mencukur jambul lima bayi lelaki dan dua bayi perempuan yang berumur antara dua hingga enam bulan itu, sambil disaksikan penduduk kampung berkenaan.

Majlis cukur jambul itu adalah antara aktiviti yang disusun sempena Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2018 yang memulakan hari pertamanya hari ini.

Tujuh bayi antara yang bertuah kerana mendapat ‘sentuhan diraja’ apabila Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah hadir pada majlis cukur jambul di Kampung Temenin Baru, dekat sini, hari ini (26 Nov). (Foto: Bernama)

Selain itu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan rombongan diraja turut disajikan dengan santapan sarapan pagi sambil dihiburkan dengan persembahan keroncong dari Majlis Daerah Kota Tinggi.

Selain itu, baginda turut berpeluang bersama penduduk mengacau dodol serta sempat berseloroh dengan masyarakat setempat.

“Kalau dodol dah keras, tak larat nak kacau,” seloroh baginda sambil disambut gelak tawa kira-kira 1,000 penduduk kampung berkenaan.

Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah (kiri) berkenan menyempurnakan majlis cukur jambul antara tujuh bayi yang terpilih, Nur Falisha Hana Mohd Hilmi Hafidz, 6 bulan yang didukung oleh ibunya Fazira Mesnan (kanan), 27, ketika berangkat tiba di lokasi pertama sempena Kembara Mahkota Johor 2018 hari ini (26 Nov). (Foto: Bernama)

Setelah setengah jam meluangkan masa di kampung berkenaan, rombongan diraja itu kemudiannya bergerak ke Felda Air Tawar Tiga, dekat sini.

Turut berangkat sama Tunku Puteri Johor Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim bersama suami, Dennis Muhammad Abdullah serta adinda-adindanya, Tunku Temenggung Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.

Turut hadir, Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian.

KMJ 2018 pada hari pertama itu melibatkan dua daerah lain selain Kota Tinggi iaitu Mersing dan Kluang melibatkan perjalanan sejauh 270 kilometer.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR