Insiden kekecohan yang berlaku di kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights awal pagi ini tiada kaitan dengan perbalahan sesama kaum India mahupun kaum lain, kata Ketua Sami kuil berkenaan, Jeyakumar Subramaniam

Sebaliknya, beliau berkata ada cubaan provokasi yang sengaja dilakukan pihak tertentu yang mengaitkan kekecohan itu dengan perbalahan kaum.

“Ini bukan pergaduhan dua kumpulan India, sebaliknya yang berada di dalam kawasan kuil ini semasa ia berlaku sebenarnya adalah kaum India dan penganut Hindu (yang berada di dalam kuil) disuruh keluar dari kawasan ini.

“Cara mereka (yang menyuruh keluar) bertutur bahasa Melayu tidak menunjukkan mereka berasal dari sini… they are not Malay (mereka bukan Melayu),” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, Anggota Parlimen Batu, P. Prabakaran berkata insiden itu melibatkan satu kumpulan yang dijadikan kambing hitam oleh pihak tertentu untuk mewujudkan kekecohan.

Beliau menegaskan kejadian itu bukan insiden perbalahan kaum dan masyarakat perlu bertenang serta tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang berbaur perkauman.

“Saya difahamkan ia berpunca daripada salah faham berhubung isu pampasan dan pengosongan tapak kuil ini. Saya ingin menyatakan bahawa kejadian pagi ini adalah di luar isu perkauman dan mahu masyarakat berhenti daripada meniupkan api perkauman.

“This is not racial issue, this is temple issue (Ini bukan isu perkauman, ini isu kuil), saya mahu pihak polis menjalankan siasaten menyeluruh bagi mengetahui siapa yang membesarkan isu ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat kuil berkenaan di sini hari ini.

Setakat 12 tengah hari ini, polis menahan seramai tujuh lelaki bagi membantu siasatan kejadian, yang berlaku 2.30 pagi sehingga menyebabkan kecederaan terhadap beberapa individu selain 18 buah kenderaan dan dua buah motosikal dirosakkan dan dibakar.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR