Bak kata pepatah ‘di mana ada kemahuan di situ ada jalan’, walaupun diduga dengan kehilangan daya penglihatan, atlet Sarawak, Filemon Lirong Dionisus buktikan kecacatan itu bukan penghalang untuk berjaya dalam bidang sukan yang diceburinya.

Filemon Lirong, 23, berkata beliau tidak akan sesekali mengalah walaupun menghadapi pelbagai kesukaran meneruskan minatnya dalam acara olahraga dan membuktikannya dengan menghadiahkan satu lagi emas kepada Kontinjen Sarawak dalam acara 400 meter (m) T11 (cacat penglihatan) Para Sukan Malaysia (Sukma) 2018 dengan catatan 63.21 saat (s) pada hari ini.

“Tentunya sukar untuk saya menjalani kehidupan seharian dalam keadaan begini apatah lagi untuk bergelar atlet, tetapi kerana minat yang mendalam saya teruskan juga.

“Walaupun kadang kala saya harus mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk latihan, saya tidak rasa itu satu bebanan sebaliknya gembira kerana dapat melakukan kemajuan dalam hidup,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Semalam, Filemon Lirong memenangi emas dalam acara 100m bagi kategori sama.

Filemon Liron yang merupakan anak kelima dari lapan orang adik beradik itu berkata, penglihatannya hilang sepenuhnya selepas diserang demam panas awal tahun ini.

“Semasa saya masih boleh melihat saya memang minat bersukan, setiap hari selepas kerja saya akan bersukan sama ada bermain bola, futsal atau takraw,” katanya sambil menambah jika diberi peluang untuk meneruskan kariernya di peringkat yang lebih tinggi beliau akan lakukan yang terbaik.

Dalam pada itu, usaha anak kelahiran Bintulu itu, tidak sia-sia apabila jurulatih olahraga Para negara, R. Jaganathan ketika ditemui di Stadium Perak memberitahu atlet tersebut kini dalam pemerhatian Majlis Sukan Negara (MSN).

“Banyak nama yang kita sudah ambil setakat ini kita akan maklumkan kepada jurulatih di peringkat negeri untuk berikan latihan tambahan kepada atlet-atlet tersebut, jika ada peningkatan ada kemungkinan akan ditarik ke MSN.

“Antara nama yang kita ambil atlet Sarawak kategori T11 (Filemon Lirong) kerana saya ingin bentuk pasukan 4x100m dan saya lihat dia ada potensi untuk jadi pelapis,” katanya.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Sukan

VIDEO POPULAR