Bersempena Bulan Alam Sekitar Malaysia peringkat kebangsaan, Worldwide Holdings Berhad bersama anak syarikatnya Worldwide Landfills Sdn Bhd menganjurkan WHB Enviro Hunt 2018 bagi mendidik dan meningkatkan kesedaran masyarakat umum berhubung alam sekitar seperti pencemaran alam dan pemanasan global.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datin Paduka Norazlina Zakaria dalam kenyataan berkata program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah kalendar program Worldwide Prihatin.

Program itu turut memberi pendedahan cadangan pelaksanaan teknologi pengurusan sisa pepejal seperti ‘Waste to Energy’ yang merupakan suatu kaedah memproses sisa pepejal dan menukarnya kepada tenaga elektrik.

Berlangsung di Taman Rekreasi Worldwide Landfills Park, Air Hitam Puchong, semalam, acara itu disertai seramai 200 peserta terdiri daripada wakil-wakil pihak berkuasa tempatan, pejabat daerah, agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam aktiviti pengurusan alam sekitar, pihak media, institusi pengajian tinggi dan penduduk sekitar.

Acara itu menyaksikan peserta berjalan kaki melebihi 10,000 langkah mengelilingi taman rekreasi bagi menyelesaikan tugasan, soal jawab dalam pengurusan alam sekitar, senamrobik, berbasikal dan cabutan bertuah.

Norazlina berkata, pihaknya tidak menyediakan baju penyertaan tetapi meminta setiap peserta dan kumpulan mengenakan pakaian mengikut tema ‘Recycle’ atau kitar semula sebagai kempen penggunaan barangan kitar semula.

“Diharapkan program ini dapat mendidik masyarakat untuk tidak melakukan pencemaran alam sekitar dan lebih bertanggungjawab untuk memelihara alam sekitar supaya sentiasa bumi terpelihara untuk kelangsungan umat manusia di masa akan datang,” katanya.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR