Empat daripada lima penjenayah yang ditembak mati ketika menyamun sebuah kedai emas di Kuchai Lama, Selasa lepas, mempunyai rekod jenayah lampau, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim. 

Beliau berkata kesemua mereka berumur 20 hingga 37 tahun itu mempunyai rekod jenayah termasuk cubaan membunuh, kes samun selain kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

“Seorang daripada mereka yang berumur 20 tahun adalah suspek amat dikehendaki polis dan kami juga telah mengenal pasti identiti butiran suspek.

“Saya tidak akan mendedahkan nama kesemua mereka kerana siasatan kes berkenaan masih berjalan, malah keputusan bedah siasat terhadap mereka juga masih dibuat secara terperinci,” katanya pada sidang media di sebuah kompleks membeli-belah di sini hari ini, sempena program kepolisan berprofil tinggi.

Mazlan, bagaimanapun berkata seorang lagi anggota kumpulan itu yang berusia 23 tahun didapati tidak mempunyai rekod jenayah.

Beliau berkata siasatan mendapati tiga daripada lima suspek berasal dari Teluk Panglima Garang di Kuala Langat, seorang dari Lunas, Kedah manakala seorang lagi dari Ampang.

Polis juga, katanya masih menyiasat sama ada kesemua suspek pernah menyertai mana-mana kumpulan kongsi gelap.

Selasa lepas, lima daripada enam penjenayah itu yang bersenjatakan kapak, parang dan pistol menyamun kedai emas di sebuah pasar raya di Kuchai Lama, mati ditembak dalam kejadian berbalas tembak dengan polis.

Sementara itu, mengulas mengenai program kepolisan berprofil tinggi, Mazlan berkata ia sebagai pendekatan untuk menarik masyarakat mendekati polis dalam melaporkan sebarang kes jenayah di Kuala Lumpur.

Beliau berkata masih ramai masyarakat tidak mengetahui cara menghubungi pihak polis apabila berlakunya jenayah di depan mata mereka.

“Saya lihat jika berlaku sesuatu jenayah di depan mata, mereka hanya merakam video dan memuat naik di laman sosial sebelum ia menjadi tular. Apabila menjadi tular, barulah polis dapat maklumat kejadian jenayah dan ini akan melewatkan tindakan polis untuk membanteras jenayah,” katanya.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR