Inisiatif penggunaan tenaga yang efisien dan peningkatan jumlah dokor pakar di Hospital Langkawi sejak lebih tiga tahun lepas menarik perhatian Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang melawat hospital itu hari ini.

Dalam catatan terkininya di laman Facebook, beliau berkata Hospital Langkawi perlahan-lahan berubah menjadi hospital yang berkonsepkan hijau dan cekap tenaga dengan pemasangan panel suria pada bumbung parkir kenderaan dan penggunaan lampu diod pancaran cahaya (LED).

“Mereka berjaya menjimatkan bil elektrik RM25,000 sebulan (dengan penggunaan panel suria dan lampu LED). Tiga tahun dahulu hanya ada tujuh orang doktor pakar, tetapi sekarang mereka ada 17 doktor pakar dalam kepakaran utama seperti, perubatan, pediatrik, ortopedik, pembedahan umum, O&G (obstetrik dan ginekologi), anestesia, radiologi dan sebagainya,” kata beliau.

Beliau berkata Hospital Langkawi mempunyai potensi untuk menjadi sebuah Hospital Pakar Utama tetapi blok perubatan tambahan diperlukan bagi memenuhi keperluan penduduk di sini. “Saya berharap hospital ini akan berubah kepada sebuah hospital pengajar dan latihan,” katanya sambil menambah pelancaran perkhidmatan ambulans udara Hospital Langkawi awal tahun ini juga merupakan satu mercu tanda dalam meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan di pulau ini.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR