Aspirasi untuk memupuk rasa cintakan kebersihan dalam kalangan kanak-kanak memberikan inspirasi kepada Sarah Najihah Mohamad Fauzi,10, bagi menghasilkan sabun buatan tangan yang membolehkan beliau dinobatkan sebagai pemenang Tuanku Bainun Young Changemakers Awards 2018.

Sabun berjenama ‘Sara Ann Surprise Soap’ yang dilengkapi dengan mainan kanak-kanak di dalamnya, disasar untuk menggalakkan kanak-kanak membasuh tangan dan badan, di samping mendidik mereka supaya menjadi lebih bersih.

“Idea ini bermula apabila saya melihat ramai kawan-kawan saya di sekolah yang kurang membasuh tangan selepas bermain,” kata gadis sunti kelahiran Kedah yang menjuarai kategori umur 6 hingga 12 tahun itu, di majlis penyampaian anugerah di Pusat Kreatif Kanak-Kanak Tuanku Bainun di sini hari ini.

“Jadi saya mula belajar di YouTube dan menjualnya dengan harga RM1 kepada rakan-rakan, dan sekarang saya sudah mula menerima tempahan online daripada orang ramai,” tambahnya.

Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim menyempurnakan majlis penyampaian anugerah, bersama dengan trofi, dan replika cek RM2,000 kepada pemenang.

Terdahulu Pengerusi Pusat Kreatif Kanak-Kanak Tuanku Bainun, Raja Datuk Seri Azureen Sultan Azlan Shah dalam ucapan perasmiannya berkata anugerah yang dimulakan pada tahun 2015 itu bertujuan mengiktiraf sumbangan dan usaha yang dilakukan oleh ‘orang muda’ dalam melakukan pembaharuan dalam diri mereka, alam sekitar dan juga komuniti.

“Ia adalah satu platform bagi mengenal pasti dan menyanjung kanak-kanak yang melakukan pelbagai kerja yang hebat untuk memberi inspirasi kepada yang lain, terutama rakan sebayanya,” katanya.

Beliau berkata tahun ini 60 projek serta individu dicalonkan berdasarkan kepada projek dan inisiatif masing-masing yang disasar untuk menjuarai aspek keamanan, keselamatan, keadilan dan penjagaan alam sekitar.

Empat kategori ditampilkan, yang terdiri daripada kategori 6 hingga 12 (Individu), 13 hingga 15 tahun (individu), 6 hingga 18 tahun (Projek Berkumpulan), dan kategori baru ‘Young Changemakers Advocate’ yang dibuka kepada umur 18 tahun keatas.

Majlis itu turut menyaksikan Muhammad Danish Agunawan, 13, dari Sabah menjuarai kategori 13 hingga 15 tahun individu, selepas berjaya menyuarakan pendiriannya yang tegas lagi lantang menentang penggunaan bahan plastik, manakala 10 pelajar dari Sri KDU Secondary School, Selangor memenangi projek berkumpulan yang bertajuk ‘Hands For Education’ yang disasar bagi membantu para pelajar yang kurang bernasib baik untuk cemerlang dalam pelajaran menerusi sesi mentor.

Sementara itu seorang guru biologi dari SMK Tamparuli, Sabah, Ernest Kelly Subin, 34, menjuarai kategori baru tahun ini, susulan pembabitan beliau yang aktif dalam menyokong dan menggalakkan para pelajarnya untuk mencetuskan impak sosial kepada komuniti.

“Program seperti ini menghargai orang yang banyak membantu atau ‘inspire people’. Jadi untuk anak-anak muda biarlah kita buat apa sahaja, yang penting ia boleh membantu komuniti setempat,” katanya.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR